Dron bantu PHD Raub kesan pencerobohan hutan simpan

Dron bantu PHD Raub kesan pencerobohan hutan simpan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan  yang dijadikan kebun tanpa kebenaran.

  Pegawai PHD Raub, Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, beberapa kawasan hutan simpan di daerah ini akan terus dipantau bagi memastikan ia tidak diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pokok pisang dan durian dimusnahkan kerana ditanam dalam Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, Raub yang diceroboh.

  Menurutnya, selain aktiviti rondaan secara berjadual oleh pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) pihaknya turut akan menggunakan dron bagi meninjau kawasan hutan simpan di daerah ini yang kebanyakannya berbukit.

  Katanya, aktiviti menceroboh hutan simpan dikesan banyak berlaku di kawasan yang terletak bersebelahan dengan hutan simpan di mana pihak terbabit membuka hutan untuk dijadikan kebun secara berperingkat bagi mengelak dikesan.

  “Kita tidak akan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini. Tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

  “Kerjasama masyarakat setempat juga diharapkan untuk melaporkan kepada PHD Raub sekiranya mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini,” katanya dihubungi, di sini, semalam.

  Beliau berkata demikian mengulas kejayaan pihaknya mengesan kegiatan menceroboh Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, di sini, minggu lalu. Kawasan seluas 16.2 hektar diteroka secara haram dengan tanaman pisang, durian klon musang king dan duri hitam.

  Shahril berkata, pihaknya bertindak tegas dengan memusnahkan pokok berkenaan yang berusia antara tiga hingga empat bulan, termasuk menebang lebih 5,300 pokok pisang dan durian musang king serta duri hitam dilakukan secara berperingkat.

  “Kawasan yang diteroka akan ditanam secara berperingkat dengan lebih 10,000 pokok balak dan antara spesies ditanam ialah keladan dan meranti. Fasa pertama 100 pokok sudah ditanam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *