Malik bakal bawa aura kebangkitan Sri Pahang

Malik bakal bawa aura kebangkitan Sri Pahang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh percaya bahawa masalah ketumpulan jentera serangan pasukan itu bakal menemui titik noktah tidak lama lagi.

  Katanya, keyakinan itu berdasarkan kehadiran Abdul Malik Mat Ariff ketika pasukan itu tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), kelmarin.

  Di sebalik kekalahan itu, beliau lebih melihat kepada Abdul Malik yang memberi nafas baharu terutama di bahagian serangan pasukan itu.

 “Sebenarnya, saya berbangga dengan Malik kerana walaupun sudah lama tidak beraksi kerana mengalami penyakit misteri serta baru dua hari bersama pasukan sebelum berdepan JDT, kehadirannya dalam pasukan amat bermakna.

 “Ia dapat dilihat sebaik Malik dimasukkan pada babak kedua  yang menyaksikan berlaku perubahan dalam pasukan terutama jentera serangan.

  “Walaupun Malik memaklumkan hanya boleh bermain antara 10 hingga 15 minit tetapi saya beritahu khidmatnya diperlukan setengah jam lebih awal.

  “Ternyata, Malik tidak menghampakan dan memberikan persembahan menyakinkan dan begitu juga kemasukan Ejat (Zuhair Aizat Mohd Nazri) yang turut membantu memperkasakan pasukan terutama di bahagian tengah,” katanya.

  Pada saingan Liga Perdana 2016 dan 2017, Abdul Malik muncul penjaring terbanyak tempatan dalam dua musim berturut-turut.

  Namun, penyakit misteri yang dialami penyerang itu menyebabkan Malik hanya dapat beraksi pada perlawanan kesembilan Liga Super musim ini.

  Kehadiran pemain berumur 28 tahun ternyata memberi aura susulan prestasi hambar yang dipersembahkan dua penyerang import iaitu Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *