Langgar SOP: Bazar Ramadan Balok diarah tutup

Langgar SOP: Bazar Ramadan Balok diarah tutup

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Tindakan penganjur bazar Ramadan Balok, di sini, yang dikesan tidak melakukan pemeriksaan suhu, tiada pendaftaran masuk dan penyediaan laluan sehala menyebabkan bazar terbabit diarah tutup.

  Malah, tindakan membenarkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah masuk menyebabkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tiada pilihan lain kecuali menutup sementara bazar itu.

  Datuk Bandar MBK, Dato’ Hamdan Hussin berkata, penutupan bazar itu bermula semalam dan kebenaran bazar itu akan beroperasi seperti biasa yang akan dimaklumkan kemudian.

  Katanya, keputusan menutup sementara bazar Ramadan Balok itu untuk memastikan tiada penularan wabak COVID-19.

  “Keputusan yang dibuat ini bukannya mengejut kerana ia dilaksanakan hasil daripada pemantauan oleh penguat kuasa dan pasukan pemantau,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

  Hamdan berkata, operasi bazar itu akan kembali beroperasi selepas pihaknya bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh penganjur.

  Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua penganjur bazar Ramadan supaya patuh dengan garis panduan yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

  “Pada Ramadan tahun ini, MBK menyediakan 26 lokasi bazar Ramadan, termasuk Balok  beroperasi kali ini yang membabitkan kira-kira 900 peniaga,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *