Tidak sampai separuh rakyat Pahang daftar Program Vaksinasi COVID-19

Tidak sampai separuh rakyat Pahang daftar Program Vaksinasi COVID-19

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Hanya 32.8 peratus atau kira-kira 500,000 daripada 1.6 juta penduduk Pahang mendaftarkan diri untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat ini.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu masih jauh daripada sasaran vaksinasi 1.108 juta orang atau 70 peratus daripada keseluruhan penduduk di negeri ini.

  “Sasaran kita ialah supaya 70 atau 80 peratus penduduk divaksin, tetapi setakat ini hanya 24.4 peratus mendaftar dengan SICP (Sistem Imunisasi COVID-19 Pahang) dan MySejahtera (32.8 peratus).

  “Masih ramai mengambil sikap tunggu dan lihat, apatah lagi banyak cerita tidak tepat tersebar mengenai suntikan vaksin.

  “Sebab itu kerajaan negeri akan giatkan lagi usaha mendaftarkan orang ramai untuk menerima suntikan (vaksin) supaya sasaran kita boleh dicapai,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Vaksinasi Wisma Belia di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

  Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah; Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

  Hari ini bermula Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 khusus bagi rakyat berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun dan ke atas, serta mereka berpenyakit kronik atau diistilahkan sebagai ‘comorbid’.

  Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menjangkakan seramai 360,000 orang terbabit dalam program Fasa 2 itu yang dijangka dapat diselesaikan sebelum sambutan Aidilfitri, bulan depan.

  “Di Pusat Vaksin Wisma Belia ini seramai 649 menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer BioNTech, manakala untuk seluruh Pahang, 1,820 dijadualkan menerima suntikan.

  “Selain Wisma Belia Kuantan, seramai 488 orang menerima suntikan di Dewan Tun Razak, Temerloh; Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis (299 orang); Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Rompin (294 orang) dan Dewan Majlis Perbandaran Bentong (90 orang) manakala untuk dos kedua ditetapkan mulai 10 hingga 12 Mei serta 17 dan 18 Mei depan,” katanya.

  Menurutnya lagi, penghantaran kesembilan vaksin sebanyak 8,190 dos dijangka tiba bermula 21 hingga 23 April ini.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *