Geng curi balak tidak tahu ke sekarang bulan puasa?

Geng curi balak tidak tahu ke sekarang bulan puasa?

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

Kuantan: Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mematahkan 24 kes cubaan menceroboh hutan simpan di negeri ini, sepanjang tiga bulan tahun ini.

Anggota penguat kuasa JPNP Zon Pahang Barat memeriksa sebahagian balak yang dirampas di Hutan Simpan Benchah, Lipis.

  Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, walaupun negara sedang berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan 

wabak COVID-19 namun kegiatan menceroboh hutan simpan dan cubaan memindahkan hasil hutan tanpa permit tetap terus dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

  Bagaimanapun menurutnya, tindakan pantas anggota penguat kuasa Zon Pahang Barat dan Timur dengan kerjasama Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) kegiatan salah itu terlebih dahulu dapat dikesan serta ditumpaskan.

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis memeriksa sebahagian balak yang dirampas di Hutan Simpan Benchah, Lipis.

  Katanya, pelbagai cara dan helah digunakan pihak terbabit untuk mengaburi pihak berkuasa, namun cubaan mereka tidak berjaya malah ada kes dalang terbabit hampir tertangkap.

  “Sebanyak 24 kes ceroboh hutan simpan berlaku termasuk tujuh di daerah Kuantan, diikuti Lipis (6), Bentong (4), Jerantut (3), Temerloh (2), Raub (1) dan Rompin (1).

  “Dalam tempoh berkenaan juga terdapat empat kes cubaan memindahkan balak serta kayu bergergaji berlaku di Jerantut, Lipis dan Kuantan. Satu kes membabitkan kegiatan melombong emas dalam hutan simpan berlaku di Lipis,” katanya, di sini, semalam.

  Beliau berkata, dalam memastikan kegiatan pencerobohan hutan simpan oleh pihak tidak bertanggungjawab, aktiviti pemantauan secara berjadual dilakukan secara berterusan membabitkan beberapa kawasan panas.

  Nor Azirim menambah, pihaknya sentiasa melakukan aktiviti penguatkuasaan walaupun kini umat Islam berada dalam bulan Ramadan kerana penjenayah alam sekitar ini tidak mengenal waktu dan ketika untuk melakukan jenayah ini. Selain itu aktiviti sekatan jalan raya juga dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa lain.

  Tambahnya lagi, bagi kes tertentu pemantauan dari udara menggunakan helikopter turut dilakukan selain penggunaan dron, dan apabila terdapat kesan pencerobohan anggota UPK dan UTK akan segera bertindak membuat serbuan.

  “Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang bertindak menceroboh hutan simpan di negeri ini dan mereka yang melakukannya didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

  “Perbuatan menceroboh hutan  dan menebang pokok tanpa kawalan akan merosakan hutan selain merugikan kerajaan negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *