Sekolah pencetus kluster baharu COVID-19 mungkin dikompaun

Sekolah pencetus kluster baharu COVID-19 mungkin dikompaun

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Langkah mengeluarkan kompaun kepada sekolah yang didapati mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga mencetuskan kluster baharu COVID-19 masih di peringkat cadangan dan belum diputuskan.

  Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, cadangan itu sudah dikemukakan untuk pertimbangan dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak. 

Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan

  “Kita (pihak polis) kalau boleh cuba elakkan daripada mengeluarkan kompaun, tapi kalau kesalahan itu berlaku depan mata, tindakan harus juga diambil.

  “Jika semua pihak, terutamanya ibu bapa boleh faham dan patuh dengan SOP ditetapkan, kita boleh pastikan musibah ini tidak berlaku di Pahang,” katanya.

KUANTAN, Ketua Polis Pahang, Dato’ Abd Jalil Hassan (kiri) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman selepas Mesyuarat Permuafakatan JPN bersama Polis Pahang di pejabat JPN Pahang di Kuantan.  Slug kompaun 21 APRIL 2021

  Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pemuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri di sini, hari ini. 

  Mesyuarat siri pertama bagi 2021 disertai Pengarah Pendidikan negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman dan pegawai kanan dari PDRM dan JPN Pahang. 

  Sementara itu, Mohammad Rosli menegaskan, semua pengetua dan guru besar di Pahang perlu mengikuti surat pekeliling dikeluarkan JPN mengenai garis panduan dan pengendalian sekolah bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

  Beliau berkata, pihaknya bukan sahaja mengharapkan kerjasama pihak sekolah, tapi paling penting ialah ibu bapa kepada murid atau pelajar itu sendiri. 

  “Kalau anak demam atau ada gejala seperti batuk atau demam atau selesema, tak perlu hantar ke sekolah dan jangan bergantung sangat dengan bacaan pada pengimbas suhu kerana ia bukanlah tepat. 

  “Kita tak mahu tercetus kluster atau masalah lain, bukan sahaja COVID-19, penyakit lain pun mudah merebak jika kita biarkan anak yang tidak sihat datang ke sekolah,” katanya. 

  Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak JPN Pahang tidak akan menyembunyikan sebarang kes COVID-19 yang berlaku di sekolah di Pahang.

  “Kita sentiasa berkongsi maklumat mengenai perkara ini dengan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya. 

  Dalam perkembangan berasingan, Abd Jalil memaklumkan hasil mesyuarat pertama hari ini antara lain bagi mencari jalan penyelesaian mengenai isu pelajar sekolah tidak mempunyai lesen memandu sah. 

  “Kita bersetuju membantu memudahkan proses pemberian lesen memandu (motosikal) kepada pelajar dan perkara ini kita akan minta kerjasama JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) melihat kaedah untuk proses membuat lesen ini,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *