Tempahan baju raya merosot teruk akibat COVID-19

Tempahan baju raya merosot teruk akibat COVID-19

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Kesan pandemik COVID-19 yang melanda negara menyebabkan tempahan baju raya merosot hampir 65 peratus berbanding sebelum ini.

  Ini diakui tukang jahit, Rofiah Mat Ali, 60, yang memberitahu  pengurangan tempahan baju raya memberi tekanan kepada kelangsungan hidupnya kerana kerja menjahit merupakan punca pendapatannya.

  Menurutnya, sebelum ini tempahan diterima mencecah 200 pasang, namun suasana cukup berbeza apabila buat pertama kalinya menyambut Ramadan tanpa ditemani kain yang bertimbun.

Tukang jahit, Rofiah Mat Ali hanya menerima 70  pasang tempahan baju raya.

  “Saya kini begitu tertekan dan hampir putus asa apabila tempahan baju tidak banyak berbanding sebelum ini, sedangkan banyak komitmen lain yang perlu ditanggung seperti sewa kedai, bil utiliti dan sebagainya. 

  “Dua tahun lalu keadaan begitu meriah dengan tempahan pelbagai jenis pakaian dan saya pernah menerima tempahan baju lebih 200 pasang, namun kini tempahan sekitar 35 peratus iaitu antara 60 hingga 70 pasang sahaja.

  “Saya reda dengan ketentuan Yang Maha Esa, episod perniagaan jatuh dialami hampir semua usahawan,” katanya yang berniaga di Pasar Besar Kuantan, di sini. 

  Menurut ibu kepada enam cahayamata itu,  pendapatannya kini semakin merudum kerana kurang menerima tempahan, namun dia tetap bersyukur masih boleh meneruskan perniagaan yang diminati itu.

  Katanya, selepas negara berhadapan wabak COVID-19 setahun lalu ada ketikanya dia tidak memperolehi sebarang tempahan walaupun kedai jahit miliknya beroperasi seperti biasa. 

  “Sebelum ini saya pernah tidak meraih sebarang pendapatan untuk dibawa pulang kerana ketiadaan pelanggan.

  “Itu paling sedih untuk dikenang, tetapi saya perlu cekal kerana itu merupakan pekerjaan saya,” katanya yang berpengalaman lebih 40 tahun sebagai tukang jahit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *