Juadah berbuka puasa percuma untuk gelandangan

Juadah berbuka puasa percuma untuk gelandangan

Oleh Mohd Imran Izad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Seramai 500 orang daripada golongan miskin bandar di daerah ini menerima makanan percuma untuk berbuka puasa setiap hari yang disediakan Dapur Infaq Ummah.

 Projek amal itu turut diterima manfaatnya oleh gelandangan dan pondan pelbagai bangsa dengan agihan makanan dilakukan di dua lokasi berasingan iaitu di lorong Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar.

Nasi dengan lauk, sayur dan buah yang berbeza setiap hari diberikan kepada golongan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang.

   Pengasas Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, setiap hari bermula jam 6 petang beliau dibantu sukarelawan turun padang untuk mengagihkan makanan dan minuman di dua tempat terbabit.

  Menurutnya, tugas memasak nasi serta lauk yang berlainan menu setiap hari bermula jam 2 petang, diikuti aktiviti membungkus juadah. Semua tugas dilakukan secara gotong-royong oleh sukarelawan di Dapur Infaq Ummah Central Kitchen, Indera Mahkota, di sini.

  Katanya, sebanyak 300 bungkus makanan diagihkan di lorong Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar, manakala selebihnya diagihkan kepada beberapa pihak di daerah ini.

  “Kita memerlukan perbelanjaan kira-kira RM110,000 bagi menyediakan makanan percuma termasuk buah kurma selama sebulan. Sumber kewangan ini diterima daripada beberapa pihak.

  “Dapur Infaq Ummah menerima sumbangan sebanyak RM60,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) dan RM20,000 daripada kerajaan negeri, manakala selebihnya sumbangan pelbagai pihak,” katanya ditemui, di sini semalam.

  Beliau menambah, tahun ini merupakan musim ketiga pihaknya menyediakan makanan percuma kepada golongan miskin bandar, pondan dan gelandangan untuk berbuka puasa. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, bantuan makanan turut disediakan pada mereka.

  Badrul Jamili berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan individu serta syarikat swasta yang bercadang untuk menyediakan makanan percuma pada golongan memerlukan di daerah ini. Sebelum ini, Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis) Pahang pernah mengadakan kerjasama.

  Sementara itu, tinjauan ketika agihan makanan dilakukan mendapati rata-rata gelandangan bersyukur dengan bantuan makanan percuma untuk berbuka puasa yang disediakan Dapur Infaq Ummah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *