MB hadiahkan bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan Yayasan Pahang

MB hadiahkan bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan Yayasan Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan Yayasan Pahang bagi meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini.

  Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pahang (YP) berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada pihak pengurusan dan kakitangan YP yang terus membantu menguruskan anak syarikat kerajaan negeri itu dengan cemerlang.

  “Bantuan atau bonus ini kita boleh berikan kepada kakitangan YP kerana pengurusan kewangan diuruskan dengan baik dan prestasi kewangan kerajaan negeri juga diuruskan secara berhemah. 

  “Kalau kita tengok kepada peningkatan pendapatan dicatatkan YP, tahun lalu kita memperoleh pendapatan RM169 juta dan jumlah ini menunjukkan peningkatan melebihi RM40 juta berbanding 2018,” katanya.

  Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, malam ini. 

  Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif YP, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi. 

  Pada majlis sama, Wan Rosdy sempat menyampaikan sumbangan kepada sembilan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Pahang; Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (PIANIS) dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Cawangan Pahang. 

  Turut menerima sumbangan, Pasukan Bahas Guru Pahang yang memenangi Pertandingan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini. 

  Sementara itu, Wan Rosdy juga menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada anak jati Pahang, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi yang layak melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard di Amerika Syarikat, Ogos ini. 

  Sumbangan itu diterima ibu Mohammad Hamdi, Rozita Abdul Hamid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *