Pendapatan Yayasan Pahang meningkat kepada RM169 juta, hutang tinggal RM15 juta

Pendapatan Yayasan Pahang meningkat kepada RM169 juta, hutang tinggal RM15 juta

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Yayasan Pahang (YP) mencatatkan pendapatan sebanyak RM169 juta bagi tahun kewangan berakhir 2020, meningkat lebih RM40 juta berbanding RM128 juta pada 2018.

  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi berkata, pendapatan memberangsangkan itu sebahagian besarnya disumbangkan anak syarikat YP iaitu YP Plantation Holdings.

  “YP Plantation Holdings merekodkan pulangan tertinggi iaitu sebanyak RM100.53 juta sekali gus membolehkan YP memperoleh pendapatan tinggi.

  “Selain itu, jumlah pinjaman YP kini berkurang secara drastik iaitu daripada RM96 juta pada 2018 kepada hanya RM15 juta tahun lalu,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, di sini, hari ini.

  Majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak.

  Mengulas lanjut, Mahmud berkata, jumlah simpanan YP juga kini meningkat daripada RM30 juta pada 2018 kepada RM91 juta tahun lalu.

  “Hasil pendapatan inilah yang digunakan YP untuk diagihkan kepada rakyat bagi tujuan pendidikan dan kebajikan.

  “Contohnya, sembilan daripada 10 murid daripada keluarga berpendapatan rendah menerima biasiswa sekolah rendah dan tujuh daripada 10 pelajar sekolah menengah daripada golongan berkenaan juga menerima biasiswa.

  “YP turut memberi bantuan khas kepada semua pelajar anak yatim tingkatan empat dan lima di sekolah menengah seluruh Pahang selain membantu graduan universiti yang berdepan kemelesetan pasaran kerja akibat COVID-19,” katanya.

  Untuk rekod, YP sudah menyumbangkan RM1.32 bilion kepada lebih sejuta penerima sejak ditubuhkan pada 1983 hingga 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *