Tok Wan ‘terjah’ rumah pelajar miskin, sampaikan bantuan laptop

Tok Wan ‘terjah’ rumah pelajar miskin, sampaikan bantuan laptop

Heading: 

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan Facebook Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN: Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail membuat kejutan apabila mengambil inisiatif melawat dan menyampaikan sendiri komputer riba kepada beberapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di rumah mereka, di sini, semalam.

  Meskipun agak terkejut, semua pelajar terbabit dan keluarga masing-masing yang tinggal di kawasan Indera Mahkota, di sini, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan atas kunjungan pemimpin nombor satu Pahang itu.

  Rakaman video dan hantaran mengenai lawatan itu dikongsikan Wan Rosdy di laman Facebook miliknya hari ini.    

  “Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan ke rumah keluarga Halimah Mat Salleh dan Jamil Alias di Indera Mahkota bagi menyampaikan bantuan kepada keluarga ini.

  “Keluarga ini kurang bernasib baik tetapi mempunyai anak yang bijak pandai. Mereka harus dibantu supaya pendidikan anak mereka tidak terjejas dan terbit rasa sayu menyelubungi dalam hati melihat keadaan keluarga berkenaan,” katanya.

  Turut mengiringi, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin. 

  Sebelum ini, Kerajaan Pahang mengumumkan bantuan 1,000 unit komputer riba bernilai RM1.517 juta untuk disumbangkan kepada pelajar yang tersenarai di bawah Bantuan Kanak-kanak (BKK) Pahang yang mendudu SPM tahun ini.

  Bantuan itu bagi meringankan sedikit kegusaran calon SPM terbabit yang memerlukan peranti berkenaan untuk membuat rujukan dan latihan secara online.

  Difahamkan, Kerajaan Pahang juga menyerahkan dua unit peranti berkenaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk disumbangkan kepada pelajar yang layak di kawasan masing-masing.

  Bagi Nina Suhana Abdullah, 44, ibu kepada Muhammad Fakhri Ahlami Mohd Jamil, 17, dia amat terharu menerima sumbangan itu, apatah lagi disampaikan sendiri oleh Wan Rosdy.

  “Selama ini kelima-kelima anak saya yang masih bersekolah terpaksa berkongsi telefon pintar untuk melakukan kerja sekolah,” kata ibu kepada enam anak itu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *