JPNP kesan 105 kes kesalahan hutan sepanjang tahun lalu

JPNP kesan 105 kes kesalahan hutan sepanjang tahun lalu

Oleh Mohd Imran Izad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad  

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan sebanyak 105 kes kesalahan hutan yang dilakukan pelbagai pihak tidak bertanggungjawab, sepanjang tahun lalu.

  Pengarahnya, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, antara kesalahan banyak dikesan ialah menceroboh hutan simpan, memindahkan hasil hutan tanpa lesen dan aktiviti melombong dalam hutan simpan.

  Menurutnya, sebanyak 70 kes (65.71 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes berkenaan  berjaya diselesaikan, sementara 10 kes telah didakwa dan tujuh kes (70 peratus) berjaya diselesaikan serta disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

  Katanya, sebanyak 74 kes sedang dalam siasatan dan 39 kes (51.35 peratus) telah berjaya diselesaikan. Terdapat 70 kes dikenakan kompaun bernilai lebih RM5.7 juta termasuk hasil rampasan.

  “Kejayaan berkenaan hasil kesungguhan dan komitmen tinggi diberikan anggota pasukan Unit Penguat kuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Zon Pahang Timur dengan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) melakukan pelbagai cara untuk mengesan kegiatan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

  “Kerjasama erat pegawai pendakwaan juga melancarkan lagi pertuduhan terhadap pesalah di mahkamah sehingga disabitkan dengan kesalahan dilakukan,” katanya, di sini.

  Beliau menambah, tahun lalu juga Unit Penguat kuasa JPNP merampas sebanyak 132 pelbagai jenis jentera digunakan penceroboh termasuk 41 

motosikal, 26 kereta dan lori serta 65 jentera berat seperti jentolak dan jengkaut.

  Mohd Hizamri berkata, pihaknya akan terus berusaha memperkuatkan lagi pasukan Unit Penguat kuasa JPNP dalam memastikan kegiatan yang menyalahi undang-undang tidak terus berlaku seterusnya menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

  “Selain menambah lebih ramai  jumlah anggota penguat kuasa 

di peringkat daerah dan negeri, kita juga berusaha menyediakan lebih banyak kemudahan seperti kenderaan pacuan empat roda bagi tujuan aktiviti rondaan.

  “Pemantau dengan helikopter akan diteruskan selain menggunakan dron dan pesalah hutan turut akan disenaraihitamkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *