Pengurus bank pun jadi mangsa sindiket pinjaman wang tidak wujud

Pengurus bank pun jadi mangsa sindiket pinjaman wang tidak wujud

Oleh Mohd Imran Izad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Impian seorang pengurus bank untuk meminjam RM250,000 melalui sebuah syarikat secara dalam talian tidak menjadi kenyataan apabila tawaran yang diiklankan melalui laman sosial Facebook itu sebenarnya tidak wujud.

  Lebih malang lagi, wanita berusia 32 tahun terpaksa menanggung kerugian RM32,970 selepas membuat beberapa bayaran untuk proses kelulusan pinjaman yang dipohon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof

  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan tawaran iklan pinjaman ditawarkan sebuah syarikat melalui Facebook selepas melayari laman sosial itu pada Isnin lalu.

  Menurutnya, mangsa berminat untuk membuat pinjaman lalu mengisi maklumat peribadi dan nombor telefon untuk proses selanjutnya.

  “Pada hari yang sama, mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat itu yang meminta nombor kad pengenalan dan slip gaji.

  “Selepas dokumen itu diserahkan, mangsa dimaklumkan pinjaman sebanyak RM250,000 itu telah lulus dan dia diminta membayar duti setem RM1,250,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.

  Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran itu pada Khamis melalui pindahan wang ke akaun bank atas nama seorang lelaki.

  “Bukan setakat itu sahaja, mangsa juga diminta membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan hingga memaksa wanita itu akur dan melakukan enam transaksi pembayaran melalui lima akaun bank atas nama individu berbeza.

  “Mangsa syak telah ditipu selepas ejen tersebut gagal dihubungi setelah bayaran dibuat lalu tampil membuat laporan di Balai Polis Raub pada Jumaat,” katanya.

  Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *