Semua bazar Aidilfitri di Pahang dibenar beroperasi hingga jam 2 pagi

Semua bazar Aidilfitri di Pahang dibenar beroperasi hingga jam 2 pagi

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju membenarkan semua bazar Aidilfitri di Pahang beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 2 pagi.

  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda berkata, ia selaras dengan keputusan Kerajaan Pusat melanjutkan tempoh operasi bazar Aidilfitri sehingga jam 2 pagi.

  Bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, katanya, setiap pengunjung bazar Aidilfitri akan diberi satu pas masuk dan kemasukan perlu dihadkan tertakluk kepada keluasan atau jumlah peniaga di tapak bazar terbabit.

  “Pengunjung yang membawa kanak-kanak berumur bawah 12 tahun atau warga emas perlu bertanggungjawab sepenuhnya risiko keselamatan dan kesihatan.

  “Setiap lot niaga, hanya satu pelanggan atau satu keluarga dibenarkan berada pada satu masa bagi mengelakkan kesesakan dalam lot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

  Dalam pada itu juga, Abd Rahim berkata, bazar Aidilfitri di Pahang akan diarah tutup selama tiga hari untuk tujuan sanitasi sekiranya pengunjung, peniaga atau petugas bazar itu dikesan positif Covid-19.

  Katanya, selain itu, peniaga atau pengunjung yang melanggar SOP akan dikompaun oleh pihak berkuasa.

  Katanya, tindakan itu dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19 terutama di bazar Aidilfitri.

  “Oleh itu semua peniaga, petugas dan pengunjung bazar wajib memakai pelitup muka, melakukan pemeriksaan suhu dan mengimbas kod bar melalui aplikasi MySejahtera di pintu masuk.

  “Mereka yang mempunyai suhu tidak melebihi 37.5 darjah selsius sahaja dibenarkan masuk ke bazar dan cecair pensanitasi tangan perlu disediakan di setiap lokasi kawalan pintu masuk dan keluar.

  “Peniaga pakaian atau kasut dikehendaki memastikan pelanggan tidak mencuba sebarang pakaian dan kasut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *