Dollah sedar risiko sebaik ambil alih Sri Pahang

Dollah sedar risiko sebaik ambil alih Sri Pahang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Dollah Salleh tidak menafikan bahawa tekanan bakal dihadapinya sebaik mengambil alih sebagai ketua kejurulatih Sri Pahang FC.

  Namun, bekas pemain kebangsaan itu sedia memikul amanah yang diberikan pemilik Sri Pahang FC, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

  Justeru, beliau menyahut cabaran dan sanggup terima hakikat dengan prestasi yang dipersembahkan pasukan.

Jurulatih Sri Pahang FC Dollah Salleh

  “Saya terima tanggungjawab itu biarpun sedar risiko tinggi jika dilihat kepada senarai pemain Sri Pahang musim ini.

  “Sebenarnya saya ambil pasukan ini dalam tekanan kerana sebagai pengurus pasukan ketika itu, saya sudah tahu situasi yang bakal dihadapi.

  “Namun, saya meneruskan juga selepas diarah Tengku Abdul Rahman dan mengharapkan jendela perpindahan pemain nanti, akan ada perubahan dalam pasukan.

  “Walaupun tiada perubahan besar dalam pasukan tetapi perancangan sudah ada untuk meletakkan pasukan pada prestasi terbaik,” katanya.

  Dollah mengambil alih jawatan daripada Thomas Dooley selepas  jurulatih import dari Jerman itu gagal mencipta kemenangan pada dua perlawanan awal Liga Super.

  Selepas mengharungi 10 perlawanan, Sri Pahang kini berada di dua tangga tercorot liga dengan mengutip lima mata.

  Pada jendela perpindahan pemain pada bulan depan, dijangka Sri Pahang akan melakukan perubahan terutama jentera serangan pasukan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *