Murtabak opor Pekan ‘meletup’ setiap kali Ramadan

Murtabak opor Pekan ‘meletup’ setiap kali Ramadan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Rasanya yang dianggap istimewa dan menyelerakan  menyebabkan murtabak opor Pekan mendapat sambutan menggalakkan terutama setiap kali tiba Ramadan.

  Pengusahanya, Jamilah Abdul Rahman, 59, berkata, penggunaan campuran rempah yang dihasilkannya sendiri dan ditambah pula dengan enam bahan lain, membuatkan juadah berkenaan mendapat permintaan yang begitu menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat di Pekan dan beberapa daerah lain.

  Menurutnya, Ramadan ini dia berjaya menjual antara 150 hingga 200 keping murtabak opor serta murtabak biasa pada setiap hari dengan harga RM12 hingga RM15 sekeping. 

Jamilah Abdul Rahman menyediakan murtabak opor yang laris setiap kali Ramadan.

   Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilalui pada masa ini tidak banyak menjejaskan jumlah jualan.

  Menurutnya, pengalaman lebih 30 tahun dalam perniagaan makanan berkenaan dengan jenama ‘Ismaliza Murtabak House’ menjadi kelebihan produknya diterima pengguna sepanjang masa.

  “Saya sendiri menghasilkan resipi opor menggunakan beberapa campuran rempah yang biasa digunakan oleh tukang masak terkenal untuk memasak hidangan daging opor yang hanya ditemui di daerah ini sahaja. 

  “Walaupun mendapat persaingan namun saya yakin kelebihan yang ada pada murtabak opor ayam dan daging yang dihasilkan tidak ada pada murtabak lain, menyebabkan produk berkenaan mendapat tempat di hati penggemarnya,” katanya, di sini.

  Beliau berkata, setakat ini hanya dia sahaja yang menghasilkan murtabak opor dan dijual di Restoran Ismaliza  di bangunan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) Pekan.

  Jamilah yang memiliki kemahiran membuat murtabak dan roti canai hasil tunjuk ajar arwah suaminya berkata, dia menggunakan dua pekerja termasuk anak perempuannya, 

Sha’arbanu Ismail membantu ibunya membuat murtabak opor yang laris setiap kali Ramadan.

Sha’arbanu Ismail dan operasi perniagaan bermula jam 3 petang hingga 7 malam. 

  “Kebanyakan peminat murtabak opor terdiri daripada pelanggan tetap dan ada juga individu baru yang ingin mencuba makanan bergoreng berkenaan.

  “Setiap kali Ramadan ada juga pelanggan yang menempah untuk disedekah kepada jiran dan penduduk berhampiran,” katanya yang turut menyediakan murtabak opor sejuk beku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *