8,000 penjawat awam di Pahang dapat ‘duit raya’ RM1,000 seorang

8,000 penjawat awam di Pahang dapat ‘duit raya’ RM1,000 seorang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Golongan penjawat awam di negeri ini bakal mendapat ‘durian runtuh’ apabila Kerajaan Pahang bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,000 seorang sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu diberikan kepada seluruh 8,000 penjawat awam meliputi semua gred selain penjawat awam persekutuan gred JUSA C ke atas yang berkhidmat di negeri ini.

  Beliau berkata, bayaran akan dilakukan pada 7 Mei ini membabitkan implikasi kewangan kira-kira RM8 juta. 

  “Sukacita saya umumkan, kerajaan negeri bersetuju memberi BKK RM1,000 kepada semua 8,000 penjawat awam di negeri ini, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

  “Keputusan ini dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang saya pengerusikan pagi ini,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

  Wan Rosdy berkata, pemberian BKK itu berasaskan kemampuan kewangan negeri dan sikap peduli Kerajaan Pahang terhadap rakyat termasuk dalam kalangan penjawat awam. 

  “Kepada badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini, saya sarankan supaya mereka membuat pemberian serupa kepada pegawai dan kakitangan masing-masing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *