Pekerja hotel divaksin selepas selesai vaksinasi petugas barisan hadapan

Pekerja hotel divaksin selepas selesai vaksinasi petugas barisan hadapan

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan Bernama Twitter

KUANTAN: Pemberian vaksin kepada 3,036 orang daripada sektor perhotelan termasuk tukang kemas, pencuci dan penyelenggaraan adalah meliputi enam daerah di negeri ini, bukan hanya membabitkan pekerja Genting Group.

  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang (JPBNP) dalam satu kenyataan di sini hari ini juga menjelaskan, antara faktor penting diambil kira ialah kluster Jalan Genting yang berlangsung selama dua bulan dan membabitkan 563 orang serta keperluan menjadikan hotel sebagai tempat kuarantin.

  “Langkah ini sebagai usaha menggerakkan ekonomi dan sektor sokongan negeri iaitu pelancongan dan pengangkutan. 

  “Jumlah agihan perancangan asal ialah 1,575 dos sahaja namun disebabkan bilangan sektor pengangkutan darat yang layak tetapi tidak mendapat sambutan seperti disasarkan, menyebabkan jumlah penerima bagi sektor perhotelan dinaikkan kepada 3,036 orang,” jelas kenyataan itu.

  JPBNP berkata, inisiatif itu juga hanya dilakukan selepas 32,156 petugas barisan hadapan kesihatan dan perkhidmatan penting yang disasarkan sebagai penerima vaksin fasa pertama oleh Kerajaan Persekutuan, selesai menerima vaksin.

  “Pahang kemudiannya menerima 5,319 dos tambahan dalam fasa pertama yang disasarkan kepada petugas barisan hadapan selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk guru, ‘comorbid’ dan lain-lain dengan 3,820 guru sudah menerima vaksin itu dalam dua fasa berbeza.

  “Sebanyak 5,600 dos tambahan vaksin Sinovac pula diterima untuk penerima daripada sektor pengangkutan, pihak berkuasa tempatan (PBT), perkhidmatan sokongan klinik (PSK) dan perkhidmatan sokongan hospital (PSH),” katanya.

  Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan di media sosial yang menyatakan sejumlah pekerja syarikat Genting Group menerima vaksinasi COVID-19 atas arahan beliau.

  Khairy berkata, CITF negeri membuat keputusan untuk memberikan vaksin kepada pekerja di sektor pelancongan dan CITF Persekutuan hanya mengetahui keputusan itu selepas proses vaksinasi kumpulan berkenaan bermula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *