Pertikai tindakan kompaun ke atas Masjid Sri Maulana: JKNP buat laporan polis

Pertikai tindakan kompaun ke atas Masjid Sri Maulana: JKNP buat laporan polis

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) membuat laporan polis terhadap pihak yang menghantar mesej di media sosial bagi memperlekehkan tindakan pegawainya mengeluarkan kompaun kepada pengurusan Masjid Sri Maulana, Pekan, kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

   Pengarahnya, Dato’ Dr Bahari Awang Ngah berkata, langkah itu berikutan perbuatan warganet memperkecilkan tindakan dan prosedur yang diambil JKNP itu boleh dianggap mencabar peruntukan undang-undang yang telah diwartakan kerajaan.

   Beliau berkata, pegawai kesihatan yang mengeluarkan kompaun itu sudah menjalankan tugas mengikut garis panduan dan tatacara yang sedia ada.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Bahari Awang Ngah

  Katanya, pegawai berkenaan juga menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh berhemah dan sempurna.

  “Sebarang usaha memperkecilkan tindakan dan prosedur terbabit boleh diertikan sebagai mencabar peruntukan undang-undang yang diwartakan,” katanya dalam kenyataam media, semalam.

  Justeru, Dr Bahari berkata, JKNP mengambil perhatian  berhubung dengan mesej di media sosial berkaitan isu pengeluaran kompaun di masjid berkenaan.

  “JKNP sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

  Baru-baru ini, Masjid Sri Maulana dikenakan kompaun RM10,000  kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

  Berdasarkan notis yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, masjid berkenaan gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan seperti ditetapkan.

  Susulan itu tindakan, kompaun dikeluarkan di atas nama Pengerusi Jawatankuasa Masjid kerana kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *