Suffian sahkan Sri Pahang akan dirombak

Suffian sahkan Sri Pahang akan dirombak

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Prestasi hambar yang dipersembahkan Sri Pahang FC sehingga 

terperosok di dua tangga tercorot Liga Super menyaksikan pengurusan kelab itu memutuskan akan melakukan rombakan.

  Rombakan itu perlu untuk meletakkan skuad bimbingan Dollah Salleh kembali berada pada prestasi terbaik, sekali gus memperbaiki kedudukan dalam saingan liga.

  Ini kerana selepas 10 perlawanan, Sri Pahang sekadar mengutip lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri.

  Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, perubahan pasti berlaku dalam pasukan itu sebaik jendela perpindahan dibuka Mei ini.

  “Saya boleh sahkan peminat Sri Pahang akan menyaksikan perubahan. Bagaimanapun, setakat ini saya tidak dapat umumkan senarai pemain terbabit.

  “Namun, keputusan muktamad akan diketahui sebaik pengurusan tertinggi Sri Pahang meluluskannya dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

  Musim 2021 menyaksikan skuad Tok Gajah itu menyenaraikan lima import iaitu Yevhen Bokhashvili, Pedro Henrique, Herold Goulon, Mamadou Wague dan Lee Tuck.

  Bagaimanapun, tiada yang dapat dibanggakan jika dinilai berdasarkan prestasi lima import itu terutama di bahagian serangan selepas mengharungi 10 perlawanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *