UMNO – PAS Pahang meterai perjanjian kerjasama menerusi MN

UMNO – PAS Pahang meterai perjanjian kerjasama menerusi MN

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Zulkepli Osman

KUANTAN: Dengan termeterainya perjanjian Muafakat Nasional (MN) antara Badan Perhubungan UMNO negeri dan PAS Pahang hari ini, maka rasmilah kerjasama kedua-dua parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di negeri ini.

  Perjanjian itu ditandatangani Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pesuruhjaya PAS negeri, YB Rosli Abdul Jabar dalam satu majlis ringkas di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, di sini, menjelang waktu berbuka puasa petang tadi. 

  Wan Rosdy ketika membaca kenyataan bersama antara UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pahang dan PAS negeri, berkata modul perpaduan ummah yang dipersetujui di Pahang perlu dijadikan panduan serta rujukan kepada negeri lain.

  “Perjanjian ini dibuat bagi memperkukuhkan asas (penubuhan) MN seperti dipersetujui di peringkat Pusat sebelum ini.

  “Dalam perjanjian ditandatangani hari ini yang mempunyai lapan perkara utama, kita ingin memberi jaminan bahawa persetujuan asal seperti UMNO Pahang bersetuju untuk tidak meletakkan calon di lapan kerusi dewan undangan negeri (DUN) dimenangi calon daripada PAS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14),” katanya.

  Beliau berkata, UMNO Pahang juga bersetuju untuk tidak menjalinkan kerjasama atau menyokong mana-mana calon yang bertanding di lapan kerusi berkenaan, jika ia bukan calon daripada PAS.

  “Begitu juga sebaliknya, kita berharap PAS Pahang berpandukan persetujuan itu tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi dimenangi BN pada PRU-14 dan tidak akan menyokong mana-mana calon, kecuali daripada BN atau UMNO yang dipilih sebagai calon di kerusi dipertandingkan,” katanya.

  Menurutnya, beliau dan Rosli bagaimanapun bersetuju untuk membincangkan lebih lanjut mengenai kedudukan sembilan lagi kerusi DUN yang ketika ini disandang wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH).

  Sementara itu, Rosli ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, PAS Pahang akan memaklumkan kepada pucuk pimpinan parti di peringkat tertinggi mengenai hasrat dan pendirian MN Pahang dan berharap ia dapat diberi pertimbangan sewajarnya.

  “Kita akan maklumkan kepada (PAS) Pusat dan terpulang kepada mereka untuk melihat kepada usaha yang kita lakukan hari ini. Semuanya bergantung kepada keputusan (PAS) Pusat, UMNO pun perlu rujuk kepada pendirian Pusat dan PAS pun begitu juga.

  “Yang penting, kita mahu mereka melihat usaha yang sudah kita mulakan hari ini dan kita tengok apa pendirian (pimpinan Pusat) dalam hal ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *