Gema takbir 1 Syawal bakal jadi kenangan terindah buat 60 pelajar Orang Asli PETAMA

Gema takbir 1 Syawal bakal jadi kenangan terindah buat 60 pelajar Orang Asli PETAMA

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Kemeriahan Aidilfitri semakin dirasakan oleh 60 pelajar Orang Asli yang mengikuti Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) apabila menerima sumbangan duit dan baju raya untuk digayakan di pagi 1 Syawal nanti.

Pelajar perempuan PETAMA gembira mendapat duit raya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Auditorium UCYP, Tanjung Lumpur, Kuantan.

  Mereka yang mengikuti program berkenaan di Tanjung Lumpur, di sini, masing-masing menerima RM200 dan sepasang baju melayu bagi pelajar lelaki manakala pelajar wanita bakal bergaya dgn baju kurung baru.

  Sumbangan itu diberikan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk golongan asnaf di kalangan mualaf.

  Bagi Shariza Zainal, 18, ini kali pertama dia menerima duit dan baju raya selepas melafazkan kalimah shadah lima bulan lalu untuk bergelar muslim.

  Menurutnya, Ramadan kali ini lebih bermakna apabila dia berpeluang menunaikan ibadah puasa buat kali pertama, walaupun amat berat dilalui namun tidak mematahkan semangatnya.

  “Saya hampir berbuka hari pertama puasa apabila sakit perut beberapa jam sebelum waktu maghrib.

  “Namun saya bersyukur semangat kuat yang ada akhirnya ibadah puasa kali pertama dilalui berjaya dihabiskan,” katanya.

  Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Raya kepada pelajar PETAMA oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman di Auditorium 

UCYP, Tanjung Lumpur, semalam.

  Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar & Hubungan Masyarakat) University College of Yayasan Pahang (UCYP), Profesor Dr Azhar Jaafar @Ramli dan Pengurus PETAMA, Razi Ahmad.

  Shariza yang berasal dari Kampung Moi, Cameron Highlands berkata, kemanisan bergelar muslim mula dirasai apabila dapat melakukan ibadah sembahyang, puasa, zakat dan merayakan Aidilfitri tidak lama lagi.

  Bagi Halinda Muhamad Saad, 20, yang memeluk Islam tujuh bulan lalu, bersyukur menerima duit dan baju raya sumbangan MUIP.

  “Saya tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri buat kali pertama dalam hidup, selepas melalui ibadah puasa selama sebulan.

  “Setiap hari saya berdoa supaya keimanan saya terus kuat bagi menghadapi apa juga cabaran sebagai seorang Islam,” katanya yang berasal dari Tasik Chini.

  Sementara itu, Dr Asmadi berkata, sumbangan raya berupa wang tunai RM200 dan pakaian baharu diberikan antara usaha untuk mengembirakan pelajar terbabit yang rara-rata masih baharu mengenali Islam.

  “Mereka perlukan bimbingan dan sokongan secara berterusan bagi memastikan keimanan mereka terus kekal dan bertambah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *