MB enggan toleh, terus berbakti memakmurkan negeri Pahang

MB enggan toleh, terus berbakti memakmurkan negeri Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar ihsan FB Wan Rosdy Bin Wan Ismail

CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan Pahang terus menunjukkan komitmen membela rakyat kurang berkemampuan di negeri ini apabila menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada 120 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, di sini, hari ini.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap penerima diberikan wang tunai sebanyak RM200 dan kurma dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24,000.

  “Majlis pagi ini membabitkan 120 orang golongan kurang berkemampuan terdiri daripada anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar dan ibu tunggal.

  “Menerusi program bantuan dengan kerjasama Yayasan Pahang ini, mereka menerima bantuan prihatin wang tunai RM200 dan kurma membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM24,000,” katanya.

  Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang DUN Tanah Rata dengan kerjasama Yayasan Pahang di Dewan Puncak Arabela, Tanah Rata, di sini, hari ini.

  Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Pahang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM210,000 kepada tujuh penerima bagi menjayakan pelbagai projek kemasyarakatan dan bantuan pendidikan.

  Penerima terdiri daripada Ketua Penolong Pegawai Daerah Cameron Highlands dengan sumbangan sebanyak RM150,000 bagi membina dan menyiapkan 10 unit gerai dan kemudahan infrastruktur serta kerja-kerja berkaitan di gerai Jalan Besar Kea Farm; Imam Surau Kampung Desa Kayangan bagi kerja membaiki surau (RM20,000); Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rumah Kasih Satar bagi membaiki bumbung kediaman dan menambah baik perabot serta untuk aktiviti pembelajaran keagamaan (RM10,000) dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Telanok, Tanah Rata bagi aktiviti pembelajaran dan kokurikulum sekolah 2021 (RM5,000).

  Turut menerima sumbangan ialah Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia bagi menjalankan aktiviti persatuan (RM10,000); Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang untuk menjalankan aktiviti persatuan (RM10,000) dan Kamarul Mohd Shapiai menerima sumbangan sebanyak RM5,000.00 bagi membiayai kos pengajian anak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *