Rumah baharu hadiah untuk Aidilfitri

Rumah baharu hadiah untuk Aidilfitri

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: “Aidilfitri akan datang menjadi lebih bermakna apabila saya dapat menyambutnya di rumah baharu yang begitu selesa dan menarik.

  “Rumah papan tempat saya berteduh sejak lebih 60 tahun kini bertukar kepada rumah simen,” kata warga emas, Mustafa Kasim, 79.

Warga emas, Mustafa Kasim,79, bersyukur menerima rumah baharu disediakan MUIP di Kampung Permatang Pauh, Pekan.

  Dia yang menetap di Kampung Permatang Pauh, di sini, adalah antara penduduk bertuah yang menerima bantuan baik pulih rumah sebanyak RM30,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

  Dia yang yang mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu berkata, keadaan rumahnya sebelum ini begitu uzur dan tidak selamat terutama apabila banyak kayu reput dimakan anai-anai.

  Katanya, dia seolah tidak percaya dan bermimpi apabila pegawai MUIP berjumpanya  bulan lalu menyatakan rumah baharu yang lebih selesa akan dibina untuknya.

  “Lebih manis lagi apabila kesudian KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah datang melihat proses membuat rumah saya sambil Tuanku turut membantu mengikat batu-bata.

  “Tuanku begitu prihatin dengan kesusahan rakyat jelata dan saya difahamkan sokongan Tuanku melayakkan saya menerima bantuan baik pulih rumah ini,” kata bapa lima kepada cahayamata itu.

  Mustafa berkata, setiap bulan dia menerima bantuan RM400 daripada MUIP dan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyara kehidupan.

  Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, seramai lima penduduk kampung itu menerima bantuan baik pulih rumah daripada MUIP.

  “Saya bertanggungjawab membuat permohonan bantuan daripada MUIP yang sentiasa berusaha memberi bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *