APM ambil masa 25 minit ‘jinakkan’ ular sawa 150 kilogram

APM ambil masa 25 minit ‘jinakkan’ ular sawa 150 kilogram

Oleh Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

PEKAN: Kehadiran ular sawa batik dianggarkan seberat 150 kilogram (kg) berhampiran tapak projek solar di Kuala Pahang, di sini, pagi semalam, mengejutkan pekerja di situ. 

  Reptilia sepanjang kira-kira enam meter itu dikesan pekerja di dalam parit kawasan projek sekitar jam 8 pagi. 

  Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pekan, Kapten (PA) AzamSah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan ular sawa batik itu jam 8.20 pagi. 

  “Seramai enam pegawai dan anggota APM daerah dikerahkan ke lokasi sebaik menerima laporan mengenai penemuan ular sawa itu. Pegawai dan anggota kami mengambil masa kira-kira 25 minit untuk menangkap dan mengalihkan ular sawa itu dari parit terbabit. 

  “Kita juga terpaksa menggunakan lori dari tapak projek tenaga solar terbabit untuk membawa ular sawa itu ke pejabat APM Pekan berikutan saiz sangkar dibawa pegawai dan anggota kami tidak boleh memuatkan reptilia itu,” katanya.

  AzamShah berkata, bagi memastikan reptilia terbabit tidak mengalami tekanan atau mati, pihaknya sudah melepaskan ular sawa berkenaan ke kawasan hutan di sekitar daerah ini tengah hari semalam.

  “Kami sudah melepaskan ular sawa ini di lokasi yang sesuai dan jauh daripada ancaman manusia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *