MB umum lima pendekatan baru kekang penularan COVID-19 yang kian membimbangkan di Pahang

MB umum lima pendekatan baru kekang penularan COVID-19 yang kian membimbangkan di Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan negeri mengambil langkah memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan aktiviti sosial sepanjang bulan Ramadan berikutan penularan pandemik COVID-19 yang agak membimbangkan di Pahang ketika ini.

   Untuk memastikan usaha mengurangkan kadar kebolehjangkitan, Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan lima pendekatan baharu. 

  “Selepas diberikan taklimat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pagi tadi, saya dapati perkembangan (penularan) COVID-19 dalam tempoh dua minggu lalu di Pahang masih berada dalam keadaan agak membimbangkan apabila empat daerah berada dalam kategori zon merah iaitu Bentong, Kuantan, Temerloh dan Raub, dengan 354 kes aktif. 

  “Pengumuman kerajaan (Persekutuan) mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Taman Tanah Putih Baru bermula tengah malam ini juga perlu diberi perhatian oleh kita semua untuk terus berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi. 

  Menurutnya, pendekatan baharu dilaksanakan Kerajaan Pahang ialah mengehadkan aktiviti atau penganjuran majlis rasmi berbentuk perhimpunan membabitkan ramai orang; mengehadkan pergerakan rentas masuk dan keluar daerah serta memastikan pematuhan SOP seperti ditetapkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam aktiviti di masjid atau surau sepanjang bulan Ramadan. 

  “Selain itu, pematuhan SOP terutamanya penjarakan fizikal di kedai makan perlu dipantau sepanjang masa oleh pihak berkuasa dan melakukan semakan semula dengan kadar segera berkaitan jumlah pengunjung bazar Ramadan dan Aidilfitri bersesuaian dengan keluasan tapak bazar berkenaan bagi mengelak pelanggaran SOP sehingga menyukarkan penjarakan fizikal,” katanya. 

  Mengikut rekod terkini Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di Kuantan mencecah 1,470 kes dengan 143 adalah kes aktif membabitkan sembilan kluster. 

  Jumlah sampel yang belum diperoleh keputusan saringan pula ialah 647 sampel dan 1,942 orang pula dikenakan perintah kuarantin di rumah. 

  “Kerajaan Pahang bercadang mengenakan peraturan lebih ketat jika peningkatan kes ini tidak dapat dikawal dengan baik, termasuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) seperti di Mukim Gali dan Tras, Raub,” kata Wan Rosdy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *