Ziyad teringin nak pakai kasut raya, biarpun tanpa kedua-dua belah kaki

Ziyad teringin nak pakai kasut raya, biarpun tanpa kedua-dua belah kaki

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

Bentong: “Hati ini begitu terharu sehingga menitis air mata apabila anak bongsu saya (Muhamad Ziyad Amzar Muhamad Razif) merayu inginkan kasut raya sedangkan kedua-dua belah kakinya kini sudah tiada.

  “Ibu mana yang tidak sedih anak yang dilahirkan normal kini tanpa kedua-dua belah kaki kerana terpaksa dipotong disebabkan penyakit gangren yang menyerangnya pada Ogos 2019,” kata Kaasnida Mohamed Nazar, 33.

Kaasnida Mohamed Nazar bersama anak lelakinya, Muhamad Ziyad Amzar yang kehilangan kedua-dua belah kaki selepas diserang penyakit gangren.

  Muhamad Ziyad Amzar, 4, turut kehilangan enam jari tangan kerana terpaksa dipotong bagi menghalang kuman penyakit berkenaan merebak ke bahagian badan lain yang akan mengancam nyawanya.

  Beliau berkata, Aidilfitri minggu depan merupakan raya kali kedua buat anaknya itu mengalami kecacatan kekal. Walaupun tanpa kedua-dua belah kaki namun dia tetap aktif menggunakan kali palsu.

  Kaasnida berkata, sebelum ini dua pasang kasut disediakan untuk Muhamad Ziyad Amzar yang dipakai pada kaki palsunya, namun Aidilfitri kali ini tidak lagi kerana dianggap tidak sesuai.

  “Untuk menyambut Aidilfitri minggu depan saya sudah menyediakan dua pasang pakaian baharu untuk Muhamad Ziyad Amzar dan dia minat dengan baju jenis kurta yang agak ringkas.

  “Tiap kali raya Muhamad Ziyad Amzar dan dua kakaknya suka membantu saya menyediakan kuih raya,” katanya yang menetap di Felda Mempaga Tiga, di sini.

  Beliau berkata, sebagai ibu, pengorbanan terpaksa dicurahkan demi masa depan anak lelakinya itu dan sokongan suami, Muhamad Razif Razali, 39, dapat menambahkan lagi keyakinan berhadapan dugaan amat berat ini.

  Kaasnida menambah, walaupun anaknya itu kini kehilangan kedua-dua belah kaki di paras lutut selain enam jari tangan, namun kesihatannya seperti kanak-kanak normal lain.

  “Sejarah dalam tempuh 14 bulan, anak saya menjalani empat kali pembedahan iaitu pembedahan memotong tulang bahagian tangannya yang memanjang menjadikan ia suatu kenangan memilukan.

  “Muhamad Ziyad Amzar kini perlu menjalani latihan fisioterapi di Hospital Bentong setiap bulan bagi membiasakan dia berjalan menggunakan kaki palsu selain menggunakan jarinya yang tidak sempurna.

  “Bantuan bulanan RM300 oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dapat meringankan perbelanjaan kami sekeluarga,” kata ibu kepada tiga cahayamata itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *