Cuti semua pegawai dan anggota polis di bawah IPD Kuantan dibekukan

Cuti semua pegawai dan anggota polis di bawah IPD Kuantan dibekukan

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar arkib/hiasan

KUANTAN: Cuti semua pegawai dan anggota polis di daerah ini dibekukan berikutan trend menaik kes COVID-19.

  Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, langkah itu diambil kerana pihaknya perlu bersedia dengan kekuatan pegawai dan anggota mencukupi untuk berdepan sebarang kemungkinan.

  “Seramai 75 pegawai kanan polis dan 1,077 anggota pangkat rendah diarahkan bertugas di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuantan dan pembekuaan cuti ini diputuskan susulan arahan Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Kuantan,   Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali

  “Bagaimanapun, kita tetap mempertimbangkan cuti, seandainya ada kes kecemasan membabitkan pegawai dan anggota, mengikut budi bicara,” katanya, hari ini.

  Mengulas mengenai kawasan Tanah Putih yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini sehingga 18 Mei depan, beliau berkata, polis dikerahkan untuk membuat sekatan jalan raya bermula 12.01 tengah malam tadi.

  “Kawalan ini berlangsung selama 24 jam membabitkan 30 anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia), RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan PBT (pihak berkuasa tempatan).

  “Kita sudah meletakkan batu halangan konkrit dan memasang kawat duri di empat laluan utama bagi mengelakkan pergerakan individu melepasi kawasan terbabit,” katanya.

  Menurutnya, PKPD di Tanah Putih membabitkan jumlah penduduk seramai 3,900 orang merangkumi 788 unit kediaman.

  “Bagaimanapun, aktiviti ekonomi contohnya kedai runcit dan kedai makan dibenarkan mengikut tempoh waktu ditetapkan.

  “Yang penting, orang ramai tak ambil mudah dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan polis akan sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *