Tiada pesakit COVID-19 dari luar Pahang ditempatkan di HTAA

Tiada pesakit COVID-19 dari luar Pahang ditempatkan di HTAA

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Tiada pesakit COVID-19 dari luar Pahang ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini

  Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, sehingga hari ini, seramai 44 pesakit COVID-19 dirawat di HTAA dengan kadar penggunaan katil adalah 38 peratus.

  Daripada 44 pesakit berkenaan, katanya, lapan pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

  “Bagaimanapun, analisis `trend’ jumlah pesakit di Pahang menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua minggu ini iaitu terdapat 622 kes dilaporkan dengan purata 44 kes sehari.

  “Peningkatan ini berlaku terutama di daerah Kuantan dengan purata kes harian dilaporkan sebanyak 20 kes yang membabitkan pelbagai lokaliti terutama di Mukim Kuala Kuantan 1.

  “Jumlah kemasukan pesakit ke ICU HTAA minggu ini meningkat hampir dua kali kali ganda daripada biasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

  Bagi menyekat penularan COVID-19, beliau berkata, JKN Pahang menasihati masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kehidupan norma baharu.

  “Budaya elakkan 3S iaitu jauhi kawasan yang sesak, kawasan yang sempit dan sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat perlu dilakukan.

  “Amalkan konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *