Bingkisan hari raya Yayasan Pahang buat penawar duka 120 anak perantau di empat IPT

Bingkisan hari raya Yayasan Pahang buat penawar duka 120 anak perantau di empat IPT

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

KUANTAN: Kedukaan 120 mahasiswa dari empat institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini kerana tidak dapat pulang beraya, sedikit terubat apabila menerima sumbangan daripada Yayasan Pahang (YP).

KUANTAN 06 MEI 2021. Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang,  Ab Razak Abu Musa Saari (empat dari kanan) bersama Rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS),  Prof Madya Dr. Haji Mohd Zawavi  Zainal Abidin (tiga dari kiri) bertemu dengan sebahagian mahasiswa yang menerima sumbangan kerana tidak dapat pulang beraya di Program Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang. Gambar oleh Zulkepli Osman

  Menerusi program Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang itu, semua pelajar terbabit menerima pelbagai barangan keperluan asas dan biskut raya, selain duit raya daripada YP. 

KUANTAN 06 MEI 2021. Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Ab Razak Abu Musa Saari berdiri, tiga dari kanan) bersama Rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Prof Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin (berdiri, empat dari kanan) bertemu dengan sebahagian mahasiswa yang menerima sumbangan kerana tidak dapat pulang beraya di Program Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang. Gambar oleh Zulkepli Osman

  Program tahunan menerusi Pusat Khidmat Komuniti Mahasiswa (PKK-M) yayasan berkenaan berlangsung di Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), dekat sini, hari ini. 

  Difahamkan, YP memperuntukkan kira-kira RM24,000 bagi menjayakan program terbabit tahun ini. 

  Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Operasi YP, Ab Razak Abu Musa Saari dan turut disaksikan Rektor KUIPSAS, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin. 

Pelajar Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) Wan Aina Najihah Wan Baharin, 19 (kanan) dan Nur Fairuz Solehah Anuar, 20 (kiri), penerima sumbangan Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang

  Penerima terdiri daripada mahasiswa KUIPSAS, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Kuantan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP). 

  Penerima bantuan, Ahmad Adli Abdul Rahim, 21, dari Kuala Terengganu berkata, meskipun sedih tidak dapat berhari raya bersama keluarga, dia tetap teruja untuk merasai pengalaman baru menyambut 1 Syawal di perantauan. 

Pelajar Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Muhammad Adib Fikri Azmi, 24, penerima sumbangan Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang

  “Kalau difikirkan, Aidilfitri tahun ini menarik juga bagi saya kerana ia adalah pengalaman baru untuknya merasai suasana beraya di tempat orang,” kata anak sulung lima beradik yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda syariah kehakiman itu.

  Bagi Mohamed Mikhail Mohamed, 22,  yang kini berada di tahun akhir pengajian peringkat ijazah sarjana muda dakwah di KUIPSAS, sumbangan yang diterima dapat menghilangkan sedikit rasa kerinduan kepada keluarganya yang berada di Ayer Hitam, Pulau Pinang. 

Pelajar Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Ahmad Aizat Ahmad Azman, 24, penerima sumbangan Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang.

  “Ini kali pertama menyambut Aidilfitri berjauhan daripada keluarga. Tahun lalu kami mengikuti pengajian secara dalam talian, jadi bolehlah beraya bersama keluarga tapi tahun ini terpaksa berjauhan pula. 

  “Ini adalah pengalaman baharu untuk saya dan rakan-rakan yang lain dan kita kena terima hakikat bahawa wabak ini memang banyak mengubah cara hidup kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *