Hati-hati aokme, polis berpakaian biasa kini pantau pematuhan SOP di lokasi tumpuan ramai

Hati-hati aokme, polis berpakaian biasa kini pantau pematuhan SOP di lokasi tumpuan ramai

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Anggota polis berpakaian preman ditugaskan melakukan pengawasan di kawasan tumpuan ramai berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di daerah ini.

  Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, antara kawasan tumpuan ialah di bazar Ramadan dan Aidilfitri serta pusat beli-belah.

  Katanya, kehadiran anggota polis berpakaian preman itu dalam usaha memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

  “Kami perhatikan ketika polis berpakaian seragam melakukan rondaan, orang ramai akan patuh tetapi sebaliknya berlaku jika tiada anggota polis.

  “Dengan peningkatan kes COVID-19 di daerah ini, kami meminta orang ramai mengikut SOP yang ditetapkan terutama daripada segi pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal serta mengimbas aplikasi MySejahtera.

  “Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya orang ramai atau pemilik premis perniagaan gagal mematuhi SOP,” katanya di sini, hari ini.

  Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menasihati orang ramai, khususnya warga emas dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak digalakkan berada di kawasan tumpuan ramai.

  Katanya, langkah itu dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19 di daerah Kuantan yang kini antara penyumbang kes di Pahang.

  “Kita tidak mahu berlaku peningkatan kes kerana umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri dan sudah pasti masing-masing mahu membuat persiapan untuk menyambutnya.

  “Kita jangkakan berlaku penambahan jumlah orang ramai seperti di bazar Aidilfiri dan pusat beli-belah minggu ini akan dan diharapkan pematuhan SOP dapat dipatuhi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *