Hidalgo permata baharu Sri Pahang

Hidalgo permata baharu Sri Pahang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pemain import baharu Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo mengakui belum mencapai prestasi terbaik ketika pasukan itu seri 2-2 bertemu Selangor, kelmarin.

  Hidalgo berkata, ini kerana beliau baharu tiba di negara ini dan tahap kecergasan tidak mencapai 100 peratus dalam memperagskan aksi lebih bertenaga.

  Bagaimanapun, beliau tetap gembira kerana dapat bermain sepanjang tempoh 90 minit perlawanan termasuk berjaya menjaringkan satu gol.

  “Saya belum lagi cergas sepenuhnya tetapi berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan pada perlawanan menentang Selangor.

  “Pada perlawanan pertama ini, saya amat gembira dan percaya mampu memberikan yang lebih baik pada perlawanan seterusnya,” kata pemain berumur 22 tahun itu,

  Mengulas persembahan pemain berasal dari Argentina itu, ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh berpuas hati dengan komitmen tinggi ditunjukkan Hidalgo.

  “Sebenarnya, saya tidak sangka Hidalgo dapat beraksi sepanjang tempoh  90 minit perlawanan kerana belum lagi cergas.

  “Kehadiran Hidalgo atas usaha Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (pemilik Sri Pahang FC) yang menguruskan kemasukan pemain muda ini.

  “Selain Hidalgo, tiga pemain import baharu dapat membentuk persefahaman mantap bersama pemain lain dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam saingan liga,” katanya.

  Tiga pemain import berkenaan ialah Aung Kaung Mann dari Myanmar, Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Anthiu (Australia).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *