Jangan percaya khabar angin: Wan Rosdy

Jangan percaya khabar angin: Wan Rosdy

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: “Jangan percaya khabar angin,” tegas Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika menafikan desas-desus kononnya daerah ini akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

  Katanya, penyebaran pesanan menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam mengenai perkara berkenaan adalah tidak benar dan meminta penduduk Kuantan menunggu pengumuman rasmi oleh Kerajaan Persekutuan. 

  “Jangan percaya dan terpengaruh dengan berita itu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

  “Kita hanya syorkan tindakan yang sepatutnya perlu diambil jika keadaan (peningkatan kes COVID-19) berterusan dan ini adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan semua penduduk,” katanya. 

  Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Bubur Lambuk Perpaduan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pak Mahat, dekat sini, petang tadi. 

  Program yang dianjurkan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Pahang itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Timbalan Menteri Perpaduan, Dato’ Sri Ti Lian Ker dan Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin. 

  Sebanyak 78 kes baharu direkodkan di Pahang sehingga tengah hari tadi membabitkan Kluster Lorong Galing, Mahkota Height, Tanah Putih Baru (Kuantan); Kluster Raub Jaya di Raub dan hasil saringan kontak rapat, bergejala dan saringan prapekerjaan. 

  Selain Kuantan, dua lagi daerah iaitu Bentong dan Raub masih dikategorikan zon merah dengan jumlah kes aktif dan positif melebihi 41 kes. 

  Penyebaran pesanan WhatsApp mengenai kononnya Kuantan bakal dikenakan PKP mulai esok hingga 22 Mei, mula tersebar semalam dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. 

  Mengulas lanjut, Wan Rosdy meminta orang ramai menunggu pengumuman rasmi daripada Menteri Kanan (Pertahanan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan tidak mempercayai berita daripada sumber yang tidak sahih. 

  “Jika kita tengok kepada jumlah kes (positif) COVID-19 di Kuantan meningkat, tapi seperti yang saya umumkan sebelum ini, kerajaan negeri akan melakukan sesuatu jika trend peningkatan kes berterusan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *