Sri Pahang sahkan masalah ITC Kaung Mann selesai, bakal beraksi Ahad ini

Sri Pahang sahkan masalah ITC Kaung Mann selesai, bakal beraksi Ahad ini

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pemain import baharu Sri Pahang FC, Aung Kaung Mann bakal membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Super apabila pasukan itu bertemu Perak, Ahad ini.

  Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Dato’ Mohammed Suffian Awang berkata, ini kerana penyerang dari Myanmar itu sudah menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC), semalam.

  Justeru, katanya, Kaung Mann akan disenaraikan dalam pasukan sekali gus memperkasakan jentera serangan.

  “Masalah ITC sudah selesai dan saya mengharapkan Kaung Mann dapat bermain pada prestasi terbaik untuk membantu Sri Pahang beroleh kemenangan.

Empat pemain import baharu Sri Pahang FC (dari kiri), Kenny Anthiu, Aung Kaung Mann, Abubakar Yakubu dan Manuel Hidalgo.

  “Dengan kehadiran lima pemain import, Sri Pahang diharap tampil dengan lebih cemerlang pada pusingan kedua liga ini,” katanya.

  Pada perlawanan menentang Selangor FC kelmarin, Kaung Mann tidak dapat disenaraikan dalam pasukan kerana belum mendapat ITC.

  Berikutan itu, skuad bimbingan Dollah Salleh hanya dapat menunrunkan tiga import baharu yang bergandingan dengan Herold Goulon.

  Pada jendela perpindahan yang dibuka Isnin lalu, Sri Pahang membuat kejutan apabila mengetepikan empat pemain import yang ditandatangani pada awal musim.

  Mereka yang diketepikan ialah Yevhen Bokhashvili dari Ukraine, Lee Tuck (England), Mamadou Wague (Lubnan) dan Pedro Henrique (Timor Leste).

  Sebaliknya, Sri Pahang membuat keputusan menyenaraikan Kaung Mann, Manuel Hidalgo dari Argentina, Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Anthiu (Australia).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *