Bekas jurulatih kuda polo gembira dapat rumah baharu hadiah Aidilfitri

Bekas jurulatih kuda polo gembira dapat rumah baharu hadiah Aidilfitri

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad

PEKAN: “Aidilfitri minggu depan amat bermakna buat kami sekeluarga apabila dapat menyambutnya di rumah baharu yang begitu selesa dan menarik.

  “Rumah pusaka berusia lebih 50 tahun itu sebelum ini kosong terbiar kini bertukar wajah kepada rumah simen,” kata bekas jurulatih kuda polo Baharom Kadir, 59.

  Dia yang menetap di Kampung Permatang Pauh, di sini, antara penduduk bertuah di kampung berkenaan yang menerima bantuan baik pulih rumah sebanyak RM20,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Ketua Kampung Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud (kanan) berbual dengan Baharom Kadir di hadapan rumahnya di Kampung Permatang Pauh, Pekan.

  Dia yang bekerja dengan Kelab Polo Diraja Pahang berkata, keadaan rumahnya sebelum ini begitu uzur terutama selepas beberapa tahun tidak berpenghuni di mana atap bocor dan banyak kayu sudah reput.

  Katanya, dia seolah tidak percaya dan bermimpi apabila pegawai MUIP berjumpanya  bulan lalu menyatakan rumah baharu yang lebih selesa akan dibina untuknya.

  “Lebih manis lagi apabila rumah baharu yang dibina siap mengikut jadual seterusnya dapatlah kami sekeluarga beraya dalam suasana lebih ceria.

  “Saya mengucapkan terima kasih kepada MUIP yang membantu. Turut berusaha membela nasib kami sekeluarga ialah Ketua Kampung Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud,” katanya.

  Sementara itu, Mohd Nasrul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Permatang Pauh berkata, seramai lima penduduk kampung berkenaan menerima bantuan baik pulih rumah daripada MUIP.

  “Saya bertanggungjawab membuat permohonan bantuan daripada MUIP yang sentiasa berusaha memberi bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini.

  “Selain bantuan baik pulih terdapat juga di kalangan mereka menerima rumah baharu selain bantuan kewangan bulanan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *