Dapor Tok Mie kena serbu, juadah percuma ‘licin’ dalam masa 20 minit

Dapor Tok Mie kena serbu, juadah percuma ‘licin’ dalam masa 20 minit

Oleh Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar Izzah Yusoff

TEMERLOH: ‘Masak dari hati, makan dengan iman’. Itulah slogan bagi program agihan juadah berbuka puasa ‘Dapor Tok Mie’ yang dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Dato’ Azmi Mat Ludin.

  Dapor Tok Mie dibuka di hadapan bangunan Majlis Perbandaran Temerloh, ternyata mendapat sambutan amat luar biasa daripada orang ramai.

  Azmi ketika dihubungi berkata, objektif program berkenaan adalah untuk mengedarkan makanan kepada masyarakat yang berdepan kesukaran hidup, ketidaktentuan ekonomi dan kurang berkemampuan ketika penularan COVID-19.

  Katanya, dengan adanya program seperti itu, beliau berharap dapat meringankan beban mereka sepanjang Ramadan. 

  “Program Dapor Tok Mie ini mengenangkan pengalaman saya dulu-dulu, saya pun asalnya hidup susah. Teringat balik zaman saya pernah berniaga kedai makan dan sampai sekarang saya masih ingat sejarah dulu, ia menjadi satu pengalaman yang saya akan sentiasa ingat.

  “Apabila ada peluang macam ini, saya nak bantu balik masyarakat di daerah ini yang mengalami kesukaran hidup. Saya dapat idea ni pun secara tiba-tiba dan saya terus berpakat untuk buat program ini.

  “Alhamdulillah, saya pun tidak sangka sambutannya hebat daripada orang ramai pada hari pertama anjuran program ini,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.

  Menurutnya, program berkenaan beroperasi pertama kali pada Khamis lalu dan beliau mengagihkan 300 juadah pada jam 4 petang. 

  “Tak sangka hanya selama 20 minit sudah licin semuanya sampaikan terasa kasihan kepada mereka yang tidak sempat dapat agihan juadah berkenaan.

  “Buat kali kedua nanti kita akan masak nasi lemak istimewa. Dekat akhir Ramadan, kadang-kadang orang pun sudah malas nak masak. Jadi marilah datang ke Dapor Tok Mie pada Selasa hadapan,” katanya. 

  Tambahnya, proses pembungkusan dilakukan secara berhadapan dan terus diedarkan kepada orang ramai.

  “Kita bawa periuk dan bungkus di situ, bukan siap-siap dari rumah. Alhamdulillah, program ini memberi impak yang besar kepada orang ramai.

  “Saya hanya mengharapkan orang ramai suka akan program ini dan yang penting mereka semua kenyang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *