Lebaran bakal suram berikutan PKP di daerah Kuantan mulai 10 hingga 23 Mei

Lebaran bakal suram berikutan PKP di daerah Kuantan mulai 10 hingga 23 Mei

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Penduduk Kuantan bakal menyambut 1 Syawal dalam kuarantin apabila kerajaan negeri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh daerah ini bermula 10 Mei hingga 23 Mei ini.

  Pemberitahuan mengenai hal berkenaan disampaikan Kerajaan Pahang menerusi laman Facebook, malam ini.

  Kerajaan negeri juga mengumumkan mengenai pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD), juga bermula 10 Mei hingga 23 Mei di tujuh lokasi di Genting Highlands iaitu di Genting View Resort (GVR), Apartment Meranti, Windmill Condo, Vista Residence, Apartment Mawar, Midhill Apartment dan Apartment Ramin.

  PKPD turut dilaksanakan sepanjang tarikh sama di Kampung Meripoh dan Kota Bahagian di Muadzam Shah, Rompin. 

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail semalam berkata, kerajaan negeri akan melakukan sesuatu jika trend peningkatan kes COVID-19 di negeri ini berterusan.

  Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan mengenai kewujudan kluster baharu iaitu Kluster Rantau Siantan membabitkan daerah ini, Temerloh dan Maran.

  “Kes indeks bagi kluster ini adalah Kes No P5148, seorang warga Malaysia yang tinggal di Temerloh. Kes disahkan positif pada 28 April 2021 melalui hasil saringan survelans COVID-19 pada 26 April 2021.

  “Penularan pandemik disyaki berlaku ketika kes indeks dari Temerloh ini pulang ke rumah keluarganya di Maran. Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 101 individu disaring dalam kluster ini dan 15 kes dikesan positif COVID-19,” kata JKNP.

  Dalam perkembangan sama, sebanyak 99 ke baharu dilaporkan di negeri ini sehingga jam 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di Pahang kini sebanyak 5,689 kes.

  “Sebanyak 32 kes membabitkan Kluster Tanah Putih Baru, Kluster Raub Jaya (tujuh kes), Kluster Rantau Siantan (enam kes), Kluster Indera Mahkota 2 (dua kes) dan Kluster Mutiara Bentong (satu kes).

  “Selain itu sebanyak 30 kes saringan kontak rapat dikesan, saringan bergejala (10 kes), saringan bersasar PKPD (lima kes), saringan pengemara (dua kes), masing-masing satu saringan prapekerjaan dan saringan kendiri. Seramai 98 orang adalah warganegara manakala satu lagi rakyat asing,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *