Penduduk yang tinggalkan Tanah Putih Baru sebelum PKPD Rabu lalu diminta buat saringan COVID-19

Penduduk yang tinggalkan Tanah Putih Baru sebelum PKPD Rabu lalu diminta buat saringan COVID-19

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

KUANTAN: Polis meminta jasa baik penduduk Tanah Putih Baru di sini, yang keluar dari kawasan itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan Rabu lalu (5 Mei) supaya tampil membuat saringan pada 10 Mei ini (Isnin).

  Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, saringan akan dilakukan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

  “Bagaimanapun, bagi yang keluar sebelum tarikh itu dan mempunyai gejala (COVID-19) perlu segera ke klinik kesihatan berdekatan untuk membuat saringan.

KUANTAN 08 MEI 2021. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali (dua dari kanan) meninjau penduduk Taman Tanah Putih Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Rabu lalu. Gambar Fikrah Pahang oleh Zulkepli Osman

  “Ini penting, lebih-lebih lagi Kluster Tanah Putih Baru ini amat cepat menular dan setakat hari ini sudah 57 disahkan positif COVID-19 dan terdapat dua kes kematian warga emas berusia 69 dan 88 tahun,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas melakukan pemantauan di taman perumahan berkenaan, hari ini.

  Mengulas lanjut, beiau berkata, polis mendapat maklumat terdapat antara 100 hingga 200 penduduk yang keluar dari kawasan itu sebelum PKPD dilaksanakan.

  “Kita ada buat tinjauan sebelum PKPD dilaksanakan tapi bila periksa semula, ada rumah yang sebelum ini ada orang, sudah tiada.

  “Jadi kita minta sangatlah mana-mana yang terbabit itu buat ujian saringan,” katanya.

  Sementara itu, beliau berkata, walaupun PKPD dilaksanakan, operasi perniagaan tetap dibenarkan dengan syarat perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

  “Saya dapati ada kedai yang tutup… sebenarnya kita benarkan berniaga termasuk kedai menjual makanan, tetapi hanya untuk dibungkus dan mengikut masa ditetapkan selain hanya untuk penduduk kawasan ini sahaja,” katanya.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *