500 keluarga asnaf di empat daerah di Pahang terima buah tangan KeTSA

500 keluarga asnaf di empat daerah di Pahang terima buah tangan KeTSA

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

PEKAN: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyumbang 500 beg barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada golongan asnaf di empat daerah di negeri ini sebagai persiapan menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi.

  Bantuan diberikan melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turun padang menyalurkannya kepada wakil di setiap daerah terpilih.

Pengurus Besar (Kawal Selia Persekutuan) TNB, Datuk Sharuddin Mohd Simin menyerahkan replika cek sumbangan Ramadan kepada 
Dato’ Nor Azita Abdul Rahman.

  Pengurus Besar (Kawal Selia Persekutuan) TNB, Datuk Sharuddin Mohd Simin berkata, empat daerah di Pahang terpilih menerima bantuan berkenaan membabitkan Lipis dan Pulau Tioman masing-masing menerima 100 beg sementara Pekan serta Cameron Highlands masing-masing mendapat 150 beg.

  Menurutnya, bantuan membabitkan barangan  keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, susu, tepung dan ketupat segera. Nilai keseluruhan bantuan di empat daerah itu ialah RM25,000.

  “Kita berharap bantuan yang diberikan kepada golongan asnaf ini dapat menceriakan lagi sambutan Aidilfitri yang akan tiba beberapa hari lagi walaupun negara terkesan dengan wabak COVID-19.

  “Kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib golongan asnaf, pelbagai bantuan serta kemudahan disediakan untuk mereka oleh pelbagai agensi,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan sebanyak 150 beg kepada wakil Parlimen Pekan, Dato’ Nor Azita Abdul Rahman, di sini, semalam.

  Turut sama, Pengurus Besar TNB Pahang, Dato’ Baderul Sham Saad.

  Sementara itu, Nor Azita berkata, pihaknya akan mengagihkan bantuan kepada golongan asnaf di 10 kampung di daerah ini yang mempunyai kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan ia dilakukan secara berperingkat bermula hari ini.

  Katanya, antara kampung terbabit ialah Kampung 

Marhum seramai 18 keluarga, Kampung Pulau Serai (30 keluarga) dan selebihnya beberapa kampung tradisional.

  “Saya bagi pihak Ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Najib Razak mengucapkan terima kasih kepada Menteri KeTSA, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang sentiasa prihatin dengan nasib golongan asnaf. Sebelum ini bantuan banjir turut diberikan.

  “Agihan mula dilakukan hari ini membabitkan penduduk di dua kampung iaitu Kampung 

Marhum dan Kampung Pulau Serai seramai 48 penerima,” katanya yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Pekan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *