Kluster Gudang Genting punca jangkitan terbaru COVID-19 di Pahang

Kluster Gudang Genting punca jangkitan terbaru COVID-19 di Pahang

Oleh Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan kewujudan kluster baharu jangkitan COVID-19 di negeri ini hari ini iaitu Kluster Gudang Genting.

  Menurut JKNP, kluster yang tercetus di Bentong itu mula dikesan pada 24 April lalu.

  “Kluster ini merujuk kepada lokaliti tempat kerja kes yang mana disyaki telah berlakunya penularan ketika kes indeks iaitu berstatus warganegara bekerja dan mempunyai kontak dengan pekerja di kedai berkenaan.

  “Mangsa mula mengalami gejala pada 26 April dan menjalani saringan keesokan harinya,” kata JKNP dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

  Menurut JKNP lagi, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 917 individu disaring yang dikesan kontak rapat dalam kluster terbabit dan 17 kes dikesan positif COVID-19. 

  Sementara itu, sebanyak 77 kes positif COVID-19 dilaporkan di seluruh Pahang hari ini membabitkan 19 kes Kluster Tanah Putih Baru, Kluster Indera Mahkota 5 (satu), Kluster Mahkota Height (dua), Kluster Gudang Genting (empat), Kluster Mutiara Bentong (satu).

  “Sebanyak 29 kes disebabkan saringan kontak, saringan bergejala (16), saringan pengembara (dua), saringan bersasar PKPD (satu) dan saringan kendiri (dua). Seramai 74 orang adalah warganegara manakala tiga lagi rakyat asing,” katanya.

  Berdasarkan rekod, Pahang mencatatkan jumlah keseluruhan 5,866 kes sehingga hari ini.

  Bagi kes sembuh pula, sebanyak 50 kes dan menjadikan jumlah keseluruhan adalah 5,233 kes.

  “Kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 596 kes dan tiada rekod kematian dilaporkan hari ini,” kata JKNP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *