MB minta semua ADUN, Ahli Parlimen tingkatkan kesedaran rakyat mengenai ancaman COVID-19

MB minta semua ADUN, Ahli Parlimen tingkatkan kesedaran rakyat mengenai ancaman COVID-19

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Sikap acuh tak acuh dan menganggap penularan COVID-19 bukanlah sesuatu yang serius sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi segelintir penduduk di Pahang, dipercayai penyumbang kepada peningkatan kadar kes positif COVID-19 di negeri ini. 

KUANTAN 10 MEI 2021. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail bergambar pada majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 di perkarangan Bangunan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar Kuantan, Dato Hamdan Hussin.

  Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri kesal dengan situasi berkenaan dan meminta kerjasama semua pihak untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan mematuhi SOP ditetapkan.

  “Kalau semua boleh patuhi SOP, saya fikir kita tiada masalah untuk mengatasi (penularan) COVID-19 di Pahang. 

KUANTAN 10 MEI 2021. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail  menyerahkan Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Dato Abd Rahim Muda pada majlis pelancaran bantuan itu di perkarangan Bangunan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

  “Masalahnya sekarang, kita nampak (jumlah) kes masih banyak dan meningkat, terutamanya di Kuantan, jadi ini mungkin ada kaitan dengan tahap kesedaran dan pematuhan SOP dalam kalangan penduduk. Itu sebabnya saya minta dan harap sangat bahawa semua rakyat dapat bersama menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan mematuhi SOP,” katanya.

  Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 di perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan, di sini, hari ini. 

  Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin.

  Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, beliau meminta kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di negeri ini meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman COVID-19 yang bukan sahaja boleh memberi kesan terhadap kesihatan hingga mengakibatkan kematian, malah turut memberi impak terhadap struktur sosial terutamanya kesan terhadap ekonomi setempat. 

  Mengulas bantuan berkenaan, Menteri Besar berkata, ia akan diagihkan semua ADUN dan Ahli Parlimen mulai hari ini dengan dibantu Majlis Tindakan Sosial Pahang.

  “Bantuan ini membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM580,000 iaitu penyediaan 11,800 kotak yang setiap satunya bernilai RM49.

  “Setiap 42 DUN mendapat 200 kotak, 14 Parlimen setiap satunya juga 200 kotak yang diuruskan Majlis Tindakan Sosial Pahang dan Pejabat Menteri Besar mendapat 600 kotak,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *