Penghantar makanan dapat penghargaan PATIK dan BIMB

Penghantar makanan dapat penghargaan PATIK dan BIMB

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Bagi menghargai jasa penghantar makanan yang juga barisan hadapan sejak pandemik COVID-19 melanda negara, Pertubuhan Amal Tiara Kasih (PATIK) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Cawangan Kuantan mengagihkan 100 pek berbuka puasa untuk kumpulan itu.

  Program diadakan secara pandu lalu di perkarangan Bank Islam Jalan Putra Square, di sini, semalam.

  Pengerusi PATIK, Tunku Zara Fakia Faranaz Tunku Ismail berkata, program Sinar Kasih Ramadan Siri II itu adalah kesinambungan kepada program hampir sama, minggu lalu.

  “Minggu lalu, menerusi dengan kerjasama Yayasan Rizalman Ibrahim, kita menghadiahkan kelengkapan baju raya kepada penghuni Rumah Anak Yatim Permata Camar. Kali ini kita santuni pula ‘food rider’ yang banyak memudahkan urusan kita ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.

  “Kita juga sangat bertuah kerana mendapat kerjasama baik daripada Bank Islam Cawangan Kuantan yang turut serta dalam program kali ini dan kita harap ia adalah permulaan bagi lebih banyak program seperti ini pada masa akan datang,” katanya. 

  Pengagihan pek makanan untuk berbuka puasa bersama sekotak kurma itu bermula jam 5 petang dan selesai kira-kira sejam kemudian. 

   Sementara itu, Pegawai Eksekutif (Perancangan Kewangan) BIMB Cawangan Kuantan, Mohd Al-Faeez Abd Karim berkata, pihaknya berpuas hati dengan kolaborasi pertama mereka dengan PATIK menerusi program berkenaan. 

  “Ini adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang paling mudah menyentuh hati masyarakat kerana kita dapat berinteraksi secara terus dengan kumpulan disasarkan.

  “Contohnya hari ini, kita boleh melihat sendiri kegigihan mereka (penghantar makanan) memenuhi tempahan dibuat pelanggan dan memastikan setiap pesanan sampai pada masa dikehendaki pelanggan. 

  “Mereka juga barisan hadapan negara kita dan wajar diberikan penghargaan. Saya harap sumbangan ini dapat menggembirakan mereka yang kadangkala tidak sempat berbuka puasa kerana mahu memastikan setiap tempahan pelanggan dihantar secepat mungkin,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *