JPNP sita jentolak ceroboh hutan simpan untuk melombong emas

JPNP sita jentolak ceroboh hutan simpan untuk melombong emas

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad

KUALA LIPIS: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya menyekat cubaan melombong emas secara haram di Kompartmen 45, Hutan Simpan Ulu Jelai, dekat sini, berikutan penemuan jentolak untuk tujuan itu, kelmarin.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, selepas menerima aduan orang awam melalui aplikasi WhatsApp, anggota Unit Penguat kuasa (UPK) Zon Pahang Barat dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis bergegas ke lokasi bagi meninjau pencerobohan hutan yang didakwa berlaku.
Menurutnya, selepas kira-kira 30 minit membuat pemeriksaan dalam kawasan hutan simpan itu, pihaknya menemui jentolak berwarna kuning tanpa pemandu.

Jentolak yang disita kerana disyaki digunakan untuk melombong emas dalam Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.


“Semakan pengesahan kedudukan jentera yang ditemui dibuat mendapati jentolak berkenaan berada di luar kawasan kelulusan melombong yang telah diluluskan kepada pelesen.
“Kita bertindak menahan dan menyita jentera terbabit bagi tujuan siasatan dan kini jengkaut ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan JPNP Batu 18 Tersang, Raub. Laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Koyan, Raub,” katanya dihubungi, di sini semalam.
Beliau menambah, jabatan tidak akan berkompromi dengan pihak yang bertindak menceroboh hutan simpan di negeri atas apa juga tujuan, tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 akan dikenakan.
Nor Azirim berkata, mana-mana pihak yang ingin memasuki hutan simpan perlu mendapatkan permit daripada JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD). Tanpa surat kebenaran mereka akan berhadapan tindakan ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang.
Tambahnya lagi, sebelum ini PHD Jerantut bertindak menahan beberapa individu yang melakukan aktiviti memburu, melancong dan sukan permotoran lasak yang memasuki hutan simpan tanpa permit. Semua mereka dikenakan kompaun.
“Beberapa hutan simpan di negeri ini sentiasa menjadi tumpuan sindiket melakukan aktiviti memindahkan balak tanpa lesen selain melombong emas secara haram.
“Hutan Simpan Ulu Jelai, Hutan Simpan Kechau, Lipis dan Hutan Simpan Ibam, Rompin menjadi tumpuan kegiatan melombong emas. Hutan Simpan Jengka, Temerloh, Hutan Simpan Chini, Pekan dan Hutan Simpan Berkelah, Jerantut pula sering terbabit aktiviti mencuri balak,” katanya.
Menurutnya, JPNP kini menguatkan lagi pasukan UPK Zon Pahang Barat dan Zon Pahang Timur dalam usaha menyekat kegiatan memindah balak curi serta aktiviti melombong emas secara haram dalam hutan simpan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *