Pelitawanis TNB cawangan Kuantan sampaikan sumbangan kepada asnaf

Pelitawanis TNB cawangan Kuantan sampaikan sumbangan kepada asnaf

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad

KUANTAN: Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis TNB) cawangan Kuantan memberi sumbangan barangan keperluan asas kepada 20 keluarga asnaf di daerah ini.
Pengerusinya, Rozianis Mohd Noor berkata, antara barangan bantuan yang diberikan ialah beras, susu, tepung dan gula. Sedikit wang tunai turut dihulurkan bagi menceriakan lagi golongan terbabit.
Menurutnya, program bantuan sempena Ramadan kali ini antara aktiviti prihatin pihaknya untuk membantu golongan memerlukan yang menetap di Kampung Jawa, Mukim Beserah, Perumahan Pak Mahat, Kampung Batu Lima dan Kampung Anak Air.

Ahli Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis TNB) cawangan Kuantan turun padang menyampaikan bantuan kepada asnaf pada program bantuan sempena Ramadan di Kuantan.


Katanya, program cakna asnaf kali ini turut mendapat sokongan warga kerja TNB Kuantan yang tampil memberi sumbangan menerusi kempen menderma untuk mereka memerlukan sempena Ramadan.
“Saya dan ahli jawatankuasa turun padang menyampaikan bantuan sambil bertanya khabar golongan asnaf, rata-rata mereka begitu gembira menerima kehadiran kami dan tidak menyangka ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan.
“Program bantuan sempena Ramadan bertujuan menghargai serta menyelami perasaan golongan asnaf yang serba kekurangan. Diharapkan Aidilfitri kali ini memberi sinar kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini
Pelitawanis TNB cawangan Kuantan bekerjasama dengan Dapur Infak Umah menyediakan makanan percuma untuk berbuka puasa yang diagihkan kepada golongan asnaf di daerah ini.
Rozianis menambah, menjadi tanggungjawab pihaknya membantu golongan asnaf di daerah setiap kali Ramadan dengan harapan mereka tidak terus terpinggir disebabkan kemiskinan selain masalah kesihatan kronik, kecacatan dan warga emas.
“Kita merancang untuk mengadakan beberapa program kebajikan pada masa akan datang selain pelbagai aktiviti lain di kalangan ahli,” katanya yang berpuas hati dapat membantu golongan asnaf di daerah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *