Umat Islam di Pahang dibenarkan bertakbir malam raya, solat sunat Aidilfitri mengikut SOP yang ketat

Umat Islam di Pahang dibenarkan bertakbir malam raya, solat sunat Aidilfitri mengikut SOP yang ketat

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Takbir malam hari raya di masjid dan surau seluruh Pahang dibenarkan sehingga jam 10 malam, manakala pada pagi 1 Syawal dibenarkan sehingga sebelum solat sunat Aidlfitri bermula jam 7.30 pagi.

  Itu antara prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti masjid dan surau sempena sambutan Aidilfitri tahun ini yang perlu dipatuhi penduduk di negeri ini.

  Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata, setiap masjid dan surau boleh mengadakan solat sunat Aidilfitri, namun hendaklah ditamatkan pada jam 9.30 pagi dengan kehadiran 50 jemaah di masjid dan surau (20 orang).

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz

  “Jemaah perlu ditentukan secara jemputan oleh pentadbiran masjid atau surau dan pintu pagar hendaklah ditutup selepas semua jemaah hadir. Solat sunat Aidilfitri di rumah pula dibenarkan dengan syarat ia membabitkan seisi keluarga sahaja.

  “Teks khutbah hari raya boleh dimuat turun melalui capaian portal www.mufti.pahang.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

  Beliau berkata, imam atau khatib dari luar negeri ini tidak dibenarkan dan jemaah mesti berusia lebih 12 tahun dan tidak lebih 75 tahun.

  Selain itu, katanya, orang ramai tidak dibenarkan menziarahi tanah perkuburan dan ziarah rumah ke rumah.

  “Adalah diharapkan, SOP diumumkan ini dapat dipatuhi sepenuhnya supaya umat Islam di seluruh Pahang boleh menunaikan ibadah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, pada masa sama, dapat mengambil tanggungjawab membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *