Jangan culas amalkan SOP ketika berhari raya: MB

Jangan culas amalkan SOP ketika berhari raya: MB

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Jangan culas amalkan prosedur operasi standard (SOP) di musim perayaan ini.

  Itu ingatan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada seluruh rakyat Pahang dalam Perutusan Menteri Besar Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1442 Hijrah yang akan disambut esok.

  Beliau berkata, orang ramai juga perlu menanam keyakinan bahawa kita akan dapat mengatasi dan membebaskan diri daripada ‘dibelenggu’ pandemik COVID-19. 

  “Sambutan Aidilfitri tahun ini adalah kali kedua kita terpaksa sambut dalam keadaan dunia, negara dan negeri kita masih lagi dilanda pandemik COVID-19, bahkan, kadar penularannya masih lagi membimbangkan.

  “Antara puncanya ialah, pengabaian semakin ketara oleh sebahagian daripada kita, terhadap SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

  “Seperti saya dan kerajaan negeri tidak jemu-jemu membuat saranan ini, rakyat pula saya merayu supaya terus cekal dan patuh kepada-Nya (Allah) dan sama-sama menaruh keyakinan bahawa kita akan akhirnya berjaya.

  “Percayalah, tiada sesiapa pun yang mahukan pandemik ini terus berada dalam komuniti serta kehidupan kita, apatah lagi ketika kita sepatutnya bergembira bersama keluarga dan sanak saudara, merayakan hari yang mulia ini.  

  “Mengambil kesempatan ini, saya sarankan kita terus mematuhi SOP yang ditetapkan dengan sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial apabila berada dalam kalangan khalayak. 

  “Sukacita saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442 Hijrah kepada semua umat Islam di negara ini, khususnya di negeri Pahang dan anak Pahang di perantauan.

  “Bagi pihak diri dan keluarga serta kerajaan negeri, saya memohon maaf, zahir dan batin kepada semua. Semoga kita dapat rayakan hari lebaran ini dengan sewajarnya, insya-Allah,” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *