STK sumbang 71 Kit Qaseh Lebaran kepada asnaf

STK sumbang 71 Kit Qaseh Lebaran kepada asnaf

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Sahabat Telekung Kuantan (STK) tampil menghulurkan sumbangan 71 Kit Qaseh Lebaran STK 2021 

berupa keperluan asas termasuk telekung kepada golongan asnaf di daerah ini.

  Sebanyak 30 kit diberikan kepada penghuni lorong di Jalan Wong Ah Jang, di sini, manakala selebihnya kepada penduduk di kawasan Beserah, Sungai Karang dan Cenderawasih. 

Pengerusi STK, Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh (kiri) menyampaikan Kit Qaseh Lebaran STK 2021 kepada 
penghuni kawasan lorong Jalan Wong Ah Jang, Kuantan.

  Pengerusi STK, Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh berkata, penghuni lorong di Jalan Wong Ah Jang terdiri daripada golongan miskin bandar yang terpaksa menyewa bilik kecil untuk tinggal bersama keluarga di tengah pusat bandar raya ini.

  Menurutnya, ini kali pertama pihaknya menghulurkan bantuan kepada golongan terbabit yang sebelum ini terpinggir.

  Katanya, program Kit Qaseh Lebaran STK sempena Ramadan kali ini turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan seperti Dapur Infaq Ummah, Dai Danial Management dan Super 7am Club yang prihatin terhadap golongan terbabit.

Dai Danial menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada program sumbangan Kit Qaseh Lebaran.

  “Ramadan kali ini STK turut menyumbang kerusi, meja dan papan putih untuk kegunaan kelas mengaji al-Quran dan ceramah agama di Surau Hidayah Wong Ah Jang.

  “Kita ingin dekatkan penduduk  di kawasan berkenaan yang tersisih supaya lebih mesra dengan surau seterusnya dapat mendalami ilmu agama,” katanya.

   Beliau berkata demikian 

selepas menyampaikan Kit Qaseh Lebaran STK 2021 kepada 30 penghuni lorong di Jalan Wong Ah Jang di

Surau Hidayah Wong Ah Jang, di sini kelmarin.

  Pada program berkenaan turut diadakan acara celoteh motivasi oleh penceramah Muhammad Danial Jaffar (Dai Danial) disusuli pemberian tudung dan duit raya kepada 66 kanak-kanak perempuan.

  Che Ku Shaherawati berkata, pihaknya akan mengadakan program ilmu di Surau Hidayah Wong Ah Jang dalam usaha memastikan penduduk di kawasan berkenaan tidak terus tercicir daripada ajaran agama.

  Pengasas Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, Surau Hidayah Wong Ah Jang dibuka pihaknya dalam usaha mendekatkan penduduk di situ dengan agama sekaligus mengelakkan mereka daripara terus lalai.

  “Sokongan kuat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dapat melancarkan lagi usaha pihak kami membantu penduduk di kawasan lorong Jalan Wong Ah Jang yang sebelum ini terkenal dengan aktiviti sosial liar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *