Besar pengorbananmu Kak, ganjarannya pasti lebih besar daripada Allah

Besar pengorbananmu Kak, ganjarannya pasti lebih besar daripada Allah

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Pengorbanan seorang kakak tidak pernah berakhir dalam membantu adik yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) sehingga sanggup berbuat apa sahaja.

  Ini dibuktikan apabila sejak enam tahun lalu, Noraishikin Alias, 47, menggalas tugas arwah bapa membawa adiknya, Mohd Shahril, 36, ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Teruntum, di sini, menggunakan motosikal roda tiga.

Noraishikin Alias menunggang motosikal roda tiga menghantar adiknya, Mohd Shahril, 36, ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Teruntum, Kuantan.

  Mohd Shahril yang juga OKU mengikuti latihan jahitan di PDK berkenaan dan Noraishikin menghantar adiknya itu ke pusat berkenaan pada 8 pagi, tiga kali seminggu.

  Noraishikin menggalas tugas itu selepas bapa mereka, Alias Awang meninggal dunia pada 2014.

  “Adik (Mohd Shahril) cacat fizikal dan pertuturan, sejak lahir perlu menaiki motosikal roda tiga bersama kerusi roda. Rutin harian saya bermula 8 pagi dan pulang 1 tengah hari,” katanya.

  Noraishikin yang menetap di Bukit Setongkol, di sini, berkata, setiap Isnin dan Selasa dia menghantar Mohd Shahril ke kelas al-Quran dan fardu ain di Taman Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) Bukit Setongkol.

  “Pengorbanan membantu insan istimewa bukan saja tanggungjawab saya tetapi ia amalan yang memberi pahala besar di akhirat nanti,” kata ibu kepada dua cahayamata itu.

  Noraishikin yang bertugas sebagai penyelia di PDK Teruntum berkata, jika dia tidak dapat menghantar Mohd Shahril kerana tugas dan urusan keluarga, adiknya, Mohd Shafie, 36, akan mengambil alih tugas itu.

  Dia berkata, suaminya, Razmi Bachik, 46, dan ahli keluarga sentiasa memberi sokongan kepadanya menjalankan tanggungjawab itu.

  “Saya tidak pernah berasa malu dan penat menunggang motosikal roda tiga melalui beberapa jalan utama di tengah bandar raya Kuantan sambil membawa adik yang sudah selesa dengan keadaan sekeliling.

  “Pengguna jalan raya pasti akan menoleh saya dan adik menaiki motosikal roda tiga, (tetapi) saya tidak pasti apa yang bermain di fikiran mereka ketika melihat kami,” katanya yang tidak pasti sampai bila perlu menggalas tugas murni berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *