COVID-19: PKRC di Kompleks SUKPA dibuka semula hari ini

COVID-19: PKRC di Kompleks SUKPA dibuka semula hari ini

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di Indera Mahkota, dekat sini, dibuka semula hari ini bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.

  Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Pahang, hari ini.

  “Pengoperasian semula PKRC SUKPA adalah bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.

  “Sebelum ini kita mempunyai dua pusat kuarantin (PKRC) yang beroperasi di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan yang menempatkan 228 pesakit dan Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bukit Tinggi dengan kapasiti semasa sebanyak 119 pesakit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

  Menurutnya, PKRC di ILKKM Kuantan dan i-KPKT Bukit Tinggi hampir mencapai kapasiti maksimum.

  “Justeru mesyuarat pagi tadi merumuskan terdapat keperluan membuka semula PKRC di SUKPA lewat petang ini sebagai persediaan bagi menempatkan pesakit menjalani proses kuarantin.

  “Langkah ini juga bagi memberi keselesaan kepada pesakit memandangkan Kerajaan Pahang sudah menetapkan bahawa semua pusat kuarantin yang beroperasi perlu mengasingkan antara pesakit lelaki dan wanita bagi mengelakkan risiko lain yang tidak diingini,” katanya.

  Beliau berkata, kerja mempersiapkan semua keperluan dan kelengkapan di PKRC SUKPA sudah dimulakan sejak pagi tadi dan dijangka bersedia menerima kemasukan pesakit lewat petang ini. 

  “Kita menyediakan sebanyak 250 tempat di PKRC SUKPA ini dan hanya pesakit lelaki sahaja dikuarantin di sini. 

  “Segala urusan lain termasuk penyediaan makanan dan keperluan lain untuk pesakit akan dilakukan semua agensi yang sudah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan negeri berdasarkan hasil mesyuarat Jawatankuasa Bencana (Pahang),” katanya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *