Kes COVID-19 di Pahang kian membimbangkan, MB ulangi rayuan patuhi SOP

Kes COVID-19 di Pahang kian membimbangkan, MB ulangi rayuan patuhi SOP

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: “Saya merayu rakyat Pahang khususnya di Kuantan, supaya patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kehihatan Malaysia (KKM),” itu luahan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berikutan peningkatan ketara kes COVID-19 di negeri ini.

  Beliau berkata, semua maklumat terbaru yang dilaporkan kepadanya amat membimbangkan dan kerana itu beliau dan kerajaan negeri amat berharap setiap penduduk Pahang dan bandar raya ini khususnya, tidak mengambil mudah pesanan serta nasihat untuk mematuhi SOP bagi mengekang penularan COVID-19.

  “Petang ini saya mendapat maklum daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkenaan situasi terkini wabak pandemik COVID-19 di negeri ini yang belum juga reda, terutamanya di daerah Kuantan. 

  “Sehingga jam 5 petang tadi, sebanyak 178 kes positif baharu yang dilaporkan di Pahang dengan 135 kes daripadanya membabitkan daerah Kuantan termasuk dengan kemunculan kluster baharu tempat kerja dikenali Kluster Menara Jalan Putra. 

  “Malah empat hari sebelumnya juga turut menunjukkan bilangan kes positif baharu tinggi di Kuantan berbanding seluruh Pahang iaitu 38 kes daripada 77 kes pada 10 Mei; 40 kes daripada 85 kes (11 Mei); 39 kes daripada 63 kes (12 Mei) dan 22 kes daripada 56 kes (13 Mei).

  “Selain itu, terdapat empat lokaliti atau kawasan dalam daerah Kuantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk Taman Tanah Putih Baru yang masih berkuat kuasa, bermula 5 sehingga 18 Mei ini.    

  “Tiga lokaliti dan kawasan lain yang pernah dikenakan PKPD sama dan sudah pun tamat tempoh penguatkuasaannya adalah Indera Mahkota 2, Astaka Village, dan Galing. 

  “Semua maklumat diperoleh ini sangat membimbangkan saya. Ini berlaku di sebalik saranan berkali-kali saya keluarkan sebelum ini termasuk terbaharu, dalam perutusan sempena Hari Raya Aidil Fitri 1442 Hijrah mengenai keperluan kita mematuhi segala nasihat dan panduan yang dikeluarkan. 

  “Oleh itu, saya sekali lagi merayu rakyat Pahang khususnya penduduk Kuantan, memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

  “Saya bimbang jika situasi sekarang berlarutan, malah berlaku lagi peningkatan terutamanya di daerah Kuantan, MKN mungkin akan mencadangkan langkah lebih ketat lagi bagi membendung penularan pandemik ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *